Tujuh NGO membuat laporan polis hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di laman Twitternya, Isnin lepas.

NGO berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan

Akhlak Rahsia Cekal (ARC).

Presiden MJMM Datuk Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO itu berkata mereka membuat laporan polis terhadap Pua kerana kenyataan Pua dalam Twitternya itu merupakan satu penghinaan yang melampau dan biadap terhadap pemerintah negara.

 

"Kami mengharapkan polis mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap individu berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibunegara hari ini.

 

Isnin lepas, Pua memuat naik di laman Twitter @tonypua dengan menyebut "Bastards. Real Bastards. Royal my foot" berkaitan tindakan polis menahan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam dua kes berkaitan Akta Hasutan, dengan kemudian menyuntingnya dengan hanya menyebut "Bastards."

Pada hari yang sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitternya @KBAB51 berkata polis akan memanggil Pua bagi menjelaskan status yang dimuat naiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

- Bernama