Bekas Menteri Pertanian Datuk Dr Effendi Norwawi akan dilantik sebagai wakil khas kerajaan bertaraf menteri di Kementerian Pengajian Tinggi bagi mempromosikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan kepada Kabinet minggu lalu bahawa Effendi menyetujui pelantikan itu.

"Effendi telah menerima tawaran itu secara lisan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman akan memberikan surat pelantikan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Menurut Bernama , Shafie berkata tarikh berkuatkuasanya pelantikan itu berkemungkinan diketahui selepas mesyuarat Kabinet esok.

Shafie berkata, antara bidang tugas Effendi ialah mengadakan perjumpaan dengan profesor dan mengadakan perbincangan dua hal dengan kerajaan-kerajaan luar.

Kerjasama

Selain itu, katanya, Effendi juga akan mewujudkan kerjasama untuk membuat penyelidikan agar dapat memartabatkan sistem pendidikan negara sebagai pusat pendidikan.

"Selain itu... bertukar-tukar fikiran, termasuk bertukar-tukar profesor dan penuntut untuk dapat pemindahan kredit dan sebagainya.

"Saya sedang menyediakan satu bilik untuk beliau di sini (kementerian), lengkap dengan kakitangan dan saya harap akan dapat berjumpa dengan beliau untuk merancang promosi dan bentuk tindakan susulan yang akan diambil," katanya.

Effendi adalah bekas ahli Parlimen Kuala Rajang. Beliau tidak bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihanraya umum lalu.

Terdahulu, Shafie melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat institusi pengajian tinggi dengan menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.