'Kami sudah jadi macam sekeluarga'
"Kita 13 orang sebenarnya tak kenal, tapi bila kes ini berlaku, kami jadi macam sekeluarga kerana selalu jumpa dan saling membantu dalam perbicaraan,” kata Nashita Md Noor.
Suaminya - aktivis Bad Latif Mansor - adalah antara 13 orang yang dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menyertai demonstrasi haram pada 2009.
Bad Latif bersama 12 orang lagi menyertai demonstrasi itu untuk menghalang upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada tahun berkenaan.
Mereka dihantar ke penjara semalam selepas gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan, yang mengurangkan hukuman dua tahun penjara kepada 10 bulan penjara.
Nashita dan Bad Latif merupakan ahli biasa PAS dan aktivis Gerakan Mansuhkan ISA ketika itu.
Nashita dengan tiga orang anaknya berkumpul di depan penjara Kajang malam tadi bersama 50 orang lagi untuk memberi sokongan kepada suaminya dan yang lainnya yang menjalani hukuman penjara mulai semalam.
Dengan pemenjaraan suaminya semalam, Nashita telah kehilangan sumber pergantungan.
Namun, Nashita tidak bimbang kerana percaya orang awam akan menghulurkan bantuan terutama Facebooknya mendapat sambutan yang besar.
Katanya, Pesuruhjaya PAS Perak dan Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Mahfuz Omar telah berjanji akan membantunya manakala Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa turut berjanji akan menziarah mereka.
'Ulang alik Gombak-Perak'
“Dari tahun 2009 hingga kini, saya telah menghabiskan wang sebanyak 30,000 untuk perjalanan ulang-alik dari Gombak ke Perak,” kata Nashita yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
Kadangkala, apabila perbicaraan ditangguh kerana saksi tidak datang atau atas sebab lain, Nashita dan suaminya secara spontan akan menukar perjalanannya ke Perak menjadi percutian.
Percutian itu merupakan saat manis keluarga Nashita di sebalik perjalanan jauh dari rumahnya di Gombak ke makhamah di Perak.
Apabila ditanya sebab turun ke himpunan itu, Nashita berkata mereka sakit mata melihat kerajaan BN yang didakwanya merampas kuasa di Perak melalui jalan yang tidak betul.
“Walaupun bukan anak Perak, hati kami tetap berdebar-debar apabila tahu pentadbiran Perak mungkin diambil alih oleh BN. Kami turun masa itu kerana tidak bersetuju dengan kezaliman BN,” tegas Nashita.
Selama enam tahun kes dibicarakan dan berulang-alik dari rumahnya di Gombak ke Makhamah di Perak, Nashita telah mengharungi pelbagai pengalaman perit, namun dia masih sukar menahan air matanya semasa mendengar keputusan makhamah.
Namun, ada juga saat manis sepanjang perbicaraan di mana 13 orang yang didakwa itu telah menjadi kawan karib, malah hubungan mereka erat bagaikan sekeluarga.
Mengimbau kembali pengalaman yang telah dilalui keluarganya, Nashita berkata suaminya telah dibuang kerja sebanyak tiga kali sepanjang enam tahun perbicaraan kesnya sehinggalah dia dimasuk ke penjara semalam.
“Semasa suami saya ditangkap pada 6 Februari 2009 kerana menyertai demonstrasi membantah BN mengambil alih pentadbiran di Perak, beliau bertugas sebagai pengurus kanan di Tabung Haji Teknologi.
Menteri sendiri telefon
“Tabung Haji itu ialah syarikat semi-swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya sambil menegaskan dia masih ingat menteri berkenaan sendiri menelefon mengarahkan diberhentikan kakitangan yang terlibat dalam perhimpunan itu.
Dengan air mata berlinang, Nashita berkongsi dengan Malaysiakini desakan hidup suaminya yang berkali-kali hilang pekerjaan kerana kes tersebut.
“Bad Latif dijatuhi penjara dua tahun oleh Makhamah Seksyen Kuala Kangsar pada tahun 13 september 2013 dan dipenjarakan tujuh hari sebelum dibebaskan untuk proses rayuan," kata Nashita.
Sekali lagi, keluh beliau, suaminya kehilangan pekerjaan di sebuah syarikat swasta.
Ekoran kegagalan dalam rayuan semalam, Nashita percaya Bad Latif akan dihentikan dari syarikat swasta tempat dia bekerja sekarang.
Ammar, 19, anak lelaki kepada Bad Latif berkata ayahnya tidak pernah lemah atau tidak berjiwa sepanjang perbicaraannya.
“Saya tak ada sedih sangat, cuma terkejut dengan ketidakadilan institusi kehakiman,” kata Ammar.
Sebaliknya, walaupun sedih, Asiah, 14, anak perempuan kepada Bad Latif ingat pesanan terakhir ayah agarnya tidak menangis, belajar bersungguh-sungguh dan teruskan perjungannya.

