Gobind mahu Pakatan bertindak terhadap PAS
Seorang pemimpin DAP menggesa Pakatan Rakyat supaya bertindak terhadap PAS kerana melanggari dasar bersama gabungan itu, selepas enakmen hudud diluluskan di Kelantan hari ini.
"Pakatan Rakyat perlu bergerak pantas untuk memulihkan keyakinan rakyat Malaysia dengan mengambil tindakan terhadap PAS.
"Ini perlu dilakukan untuk meyakinkan semula rakyat bahawa ia serius mengenai rangka dasar bersamanya, janjinya kepada rakyat dan masa depan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jika tidak, katanya, Pakatan boleh menjangka tindak balas dari penyokongnya dalam pilihan raya umum akan datang.
Sebagai satu perkara prinsip, ahli Parlimen Puchong itu berpendapat gabungan itu tidak lagi boleh mengekalkan hubungan dengan PAS kerana langkah hari ini menunjukkan parti Islam itu tidak mengambil kira rangka dasar bersama pakatan pembangkang itu.

