Ketua Menteri kesal dakwaan politik wang berleluasa di Sabah
Beberapa pemimpin Umno Sabah kesal dan terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Husni Hanadzlah yang menggambarkan seolah-olah amalan politik wang begitu berleluasa dan berlaku secara terbuka di negeri itu.
Beberapa pemimpin Umno Sabah kesal dan terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Husni Hanadzlah yang menggambarkan seolah-olah amalan politik wang begitu berleluasa dan berlaku secara terbuka di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Musa Aman berkata pucuk pimpinan Umno Sabah sentiasa menasihati pemimpin dan anggota Umno supaya tidak terlibat dengan amalan politik wang.
"Politik wang tidak memberi manfaat kepada kami sebagai pemimpin dan ahli Umno. Kami harus menjaga imej Umno dan terus berusaha memperkukuhkan dan memantapkan kekuatan parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kembara merdeka Jalur Gemilang di Padang Merdeka, di sini hari ini.
Menurut Bernama , Ahad lalu, sebuah akhbar melaporkan kenyataan Ahmad Husni yang menggambarkan seolah-olah amalan politik wang berleluasa di Sabah.
Beliau dilaporkan sebagai berkata politik wang begitu berleluasa di Sabah dan dilakukan secara terbuka (menjelang pemilihan parti bulan depan) sehingga beliau tidak berani turun ke Sabah.
Ditanya sama ada Umno negeri ada menerima aduan mengenai amalan politik wang sepanjang proses pemilihan parti peringkat bahagian, Musa yang juga Ketua Menteri berkata, beliau belum menerima laporan sedemikian dari jawatankuasa disiplin parti peringkat negeri.
Katanya, Umno Sabah sentiasa memantau urusan pemilihan parti bagi memastikan tiada amalan seumpama itu berlaku di negeri ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak mengeluarkan kenyataan yang menyatakan rasa kesal Umno negeri terhadap kenyataan Ahmad Husni itu.
Bursa politik
"Kenyataan itu sebenarnya bukan memburukkan imej Umno Sabah sahaja tetapi Umno keseluruhannya kerana tidak ada bezanya Umno, baik di Sabah mahupun negeri-negeri lain," katanya.
Salleh berkata Umno dibawa masuk ke Sabah kerana rakyat negeri itu menerima semangat perjuangan dan aspirasi membela nasib rakyat negara ini.
"Jika Umno di negeri-negeri lain meletakkan kepentingan Melayu, Bumiputera dan rakyat di hadapan, Umno Sabah juga meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas perjuangannya.
"Umno Sabah bukan `bursa politik'. Malah yang memberikan imej buruk kepada Umno Sabah sebenarnya berpunca dari segelintir individu yang melihat Umno Sabah sebagai negeri yang mempunyai perwakilan yang kedua terbesar selepas Johor sebagai tempat untuk meraih sokongan," katanya.
Salleh berkata, ahli Umno Sabah merasa cukup terhina dengan kenyataan yang dibuat kerana sebagai negeri yang baru kira-kira 10 tahun menerima kehadiran Umno Umno Sabah tidak sewajarnya dilabelkan sebagai negeri yang mempunyai ahli Umno yang korup.
Beliau berkata kenyataan itu turut menjejaskan imej kepimpinan Umno Sabah yang diketuai Musa yang telah mengambil pelbagai pendekatan agar anggota Umno negeri sentiasa mematuhi etika dan peraturan parti.
Salleh turut mengingatkan calon-calon yang hendak bertanding agar jangan melabelkan anggota Umno Sabah sebagai pengamal politik wang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.