Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel hari ini menggantung keanggotaan lima anggota parti kerana menceroboh masuk ke dalam ibu pejabat MIC di ibunegara baru-baru ini.

Palanivel berkata perilaku individu terbabit memaksa beliau untuk mengambil tindakan drastik itu mengikut Perlembagaan MIC disebabkan pembabitan langsung mereka dalam aktiviti sedemikian yang menjejaskan kepentingan parti.

Bagaimanapun, Palanivel yang juga menteri sumber asli dan alam sekitar, tidak mendedahkan nama mereka.

"Pada 12 Mac, sekumpulan orang sekali lagi menceroboh ke ibu pejabat MIC dengan mendakwa untuk mengambil alih kawalan ke atas premis terbabit. Kesemua individu ini bertindak hingga ke tahap menyerang seorang petugas ibu pejabat MIC selain mengugut dan menakut-nakutkan petugas lain.

"Petugas dipaksa keluar dari bangunan dan operasi harian ibu pejabat parti terhenti. Individu terbabit turut merampas kunci daripada petugas dan mengunci premis," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Palanivel pergi ke ibu pejabat MIC dan membuka semula premis itu serta meminta kakitangannya supaya menyambung operasi.

"Saya tidak mengambil tindakan drastik terhadap pihak lain yang terlibat sungguhpun saya mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan MIC supaya memberi mereka peluang menghentikan aktiviti ini dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kerajaan," katanya.

Palanivel berkata sekiranya mereka berkeras untuk meneruskan tingkah laku menyalahi undang-undang itu, beliau tiada pilihan melainkan mengambil tindakan drastik terhadap mereka juga.

Pada 12 Mac, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara 2009 melantik anggota CWC Datuk S.S. Rajagopal untuk menguruskan pentadbiran dan pengurusan di bangunan MIC susulan laporan bahawa beberapa cawangan parti yang tidak lagi wujud telahpun dihidupkan semula oleh anggota tertentu dalam parti.

- Bernama