Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menyatakan sokongannya terhadap pindaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud, yang
diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam.
Tengku Razaleigh menyifatkan rang undang-undang itu sebagai baik dan berharap ia dapat dilaksanakan mengikut syariat Islam yang sebenar.
“Perkara ini sudah lama dihasratkan kerajaan negeri Kelantan dan semalam baru dibentangkan pindaan sahaja... baguslah. Tinggal lagi pelaksanaan mengikut hukum Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2 semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembentangan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, kelmarin.
DUN Kelantan sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu semalam. Undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf apabila ia dilaksanakan kelak.
- Bernama
