Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Affifudin Omar menyuarakan kebimbangan terhadap unsur-unsur feudalisme dalam pemilihan calon-calon bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam Perhimpunan Agung Umno bulan depan.

Dr Affifudin, yang turut bertanding jawatan tersebut, berkata beliau bimbang para perwakilan akan membuat andaian berdasarkan isyarat pucuk pimpinan dan kebendaan menjadi menjadi faktor penentu untuk memilih ahli MT.

Dr Affifudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Kuala Nerang di Kedah, merupakan anggota Majlis Tertinggi dari 1993 hingga 2000.

"Mereka akan menganggap mereka yang dipilih oleh pucuk pimpinan untuk memegang jawatan dalam kerajaan sebagai isyarat yang mereka juga patut berada dalam Majlis Tertinggi, dengan itu menjejaskan mereka yang tidak memegang portfolio kerajaan," katanya kepada Bernama .

Beliau berkata unsur-unsur feudalisme mengenai andaian isyarat itu, memang sentiasa menjadi faktor penting bagi para perwakilan untuk membuat pemilihan mereka, walaupun ia tidak semestinya isyarat yang betul daripada pucuk pimpinan.

Contohnya, katanya, para perwakilan mungkin membuat andaian bahawa calon yang merupakan anggota Kabinet perlu dipastikan diberikan kerusi kerana beliau dipilih oleh Perdana Menteri.

"Mereka akan mengandaikan bahawa Perdana Menteri mahu orang yang terpilih itu turut berada dalam Majlis Tertinggi," katanya.

Dr Affifudin juga bimbang satu lagi unsur feudalisme iaitu kebendaan akan menjadi faktor penting bagi para perwakilan dalam mengundi.

"Jika ini berlaku, mereka akan sentiasa bertanya apa yang akan mereka dapat sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan melalui undi,"katanya.

Balasan

Beliau mengakui menghadapi cabaran getir untuk menang kali ini kerana beliau tidak memegang status "VIP" (orang kenamaan).

"Saya bukannya berkempen. Saya tidak mempunyai setiausaha politik atau setiausaha peribadi yang biasanya menjalankan tugas-tugas berkempen," katanya.

Dr Affifudin berkata pemilihan parti pada kali ini telah menyediakan medan pertandingan yang adil dengan arahan "tiada kempen" dan usaha bagi membanteras politik wang oleh parti.

Beliau percaya Majlis Tertinggi akan lebih efektif dengan gabungan ahli yang memegang dan tidak memegang jawatan kerajaan.

"Tidak akan ada maklumat balas yang efektif sekiranya semua anggota Majlis Tertinggi terdiri daripada para menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan menteri besar.

"Mereka tidak akan dapat menyuarakan pendapat mereka dengan bebas kerana mereka terikat dengan disiplin pentadbiran manakala 'yang tidak memegang jawatan kerajaan' tidak akan hilang apa-apa sekiranya menyuarakan pendapat mereka," katanya.