AirAsia Bhd akan menjual 11 pesawat, bernilai US$271 juta (US$1=RM3.71), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

"Ada hikmahnya penurunan mata wang. Pemilikan kami ke atas pesawat sudah membuahkan hasil. Kami (akan) menjual 11 pesawat dan memajaknya semula," kata Fernandes menerusi Twitternya.

Beliau berkata keuntungan kasar daripada jualan itu dijangka sebanyak US$271 juta, manakala keuntungan terakru sebanyak US$45 juta.

"Ini merupakan perniagaan yang baik," katanya.

Airasia memiliki 150 pesawat bernilai US$2 bilion.

Beliau mematahkan cakap-cakap bahawa syarikat penerbangan berkenaan akan mengumpul ekuiti.

"Ada cakap-cakap bahawa kami mahu mengumpul ekuiti. Salah sama sekali. Pada harga saham kami, mengapa kami perlukan?. Tambahan pula kami tidak perlukan tunai. Kami mempunyai tunai yang kukuh untuk mengurus operasi," katanya.

AirAsia baru-baru ini mengumumkan pengurangan kepentingannya dalam syarikat perjalanan dalam talian, AAE Travel Pte Ltd (AAE), daripada 50 peratus kepada 25 peratus.

Ia menjual 25 peratus saham kepada Expedia Inc untuk sejumlah US$86.25 juta, memperoleh US$78.76 juta hasil daripada pelupusan itu.

Fernandes juga berkata harga saham AirAsia berada pada kedudukan paling rendah berbanding nilai sebenarnya dalam kalangan semua syarikat penerbangan dunia yang matang.

Pada rehat tengah hari, harga saham AirAsia susut satu sen kepada RM2.22.

- Bernama