Pusat pitching jadi rujukan tunggal penggiat seni
Penubuhan pusat sehenti dikenali sebagai 'Content Malaysia One Stop Pitching Centre' akan menjadi rujukan tunggal kepada penggiat seni dalam mendapatkan peruntukan geran, selain memberi tumpuan khusus kepada pembangunan seni, skrip dan produksi tempatan, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman.
Beliau berkata penggiat seni yang ingin memohon pembiayaan kelak, hanya perlu merujuk kepada pusat itu.
"Pada masa kini, penggiat industri akan merujuk di beberapa pusat bagi tujuan mendapatkan pembiayaan termasuk Finas, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.
Beliau ditemui Bernama selepas menjayakan sebuah forum mengenai pelaburan dan peluang perfileman di Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, buat permulaan sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan kepada pusat itu yang dijangka akan beroperasi secara berfasa dan diuruskan bersama oleh Finas, MDec dan SKMM.
"Kriteria kelulusan bantuan pembiayaan itu untuk mana-mana produksi atau individu akan bersandarkan kepada kualiti skrip yang dihasilkan.
"Jika kita dapati produk seni itu mampu dijual maka kita boleh berbincang lanjut bersama pihak penerbit mengenai pembiayaan,” kata Kamil.
Dengar idea
Pada 24 Feb lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pusat itu bertujuan mengumpul serta mendengar idea-idea serta membimbing penggiat industri tersebut.
'Content Malaysia One Stop Pitching Centre' dijangka beroperasi awal April ini di Platinum Sentral, KL Sentral.
Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) Jurey Latif Rosli berkata penubuhan pusat itu tepat pada masanya kerana kesemua pengamal industri tertumpu di lokasi yang sama.
"Pendekatan yang dilakukan dengan menempatkan kesemua maklumat dan bahan-bahan industri kandungan digital kreatif di bawah satu bumbung amat sesuai kerana kesemua maklumat boleh didapati dengan mudah.
"Pengamal industri kandungan digital kreatif tidak lagi hilang arah dalam mencari hala tuju ketika menghasilkan karya kreatif," kata Jurey.
Menurutnya lagi, peruntukan yang disediakan kerajaan juga boleh diagihkan mengikut cara yang betul jika idea itu mendapat persetujuan pakar industri dan diperakui sebagai karya kreatif terbaik.
"Bukan sahaja penggiat seni, malah golongan ulama, saintis dan sasterawan perlu turut sama menjayakannya bagi menghasilkan karya kreatif yang mampu dipasarkan bukan sahaja di Timur Tengah malah di seluruh dunia," katanya.
Iu hak cipta
Jurey juga berharap isu harta intelek atau hak cipta dapat diselesaikan setelah wujudnya pusat pitching itu agar tiada lagi pihak yang boleh sewenang-wenangnya mengaku karya pihak lain sebagai karya sendiri.
Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam berharap pusat itu tidak menjadi projek 'Gajah Putih' dan para penggiat seni akan memanfaatkan peluang yang diberi oleh kementerian.
Katanya apa yang harus dititikberatkan ialah hasil yang baik kesan daripada berkumpulnya semua penggiat seni industri kreatif dan mengekspresi karya kreatif ke peringkat yang lebih global.
"Secara tidak langsung dapat mencungkil bakat generasi baharu dalam industri kandungan digital kreatif, sebelum mereka dapat dinilai sama ada hasil karya mereka baik atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata pengiat seni harus menyokong hasrat Ahmad Shabery untuk melahirkan karya yang lebih kreatif, kritis sekaligus dapat bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu Presiden Karyawan, Freddie Fernandez menyatakan akan menghebahkan mengenai penubuhan pusat pitching itu kepada hampir 5,000 anggotanya untuk faedah bersama.
"Ahli Karyawan terdiri daripada golongan pelakon, penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik dan pekerja di belakang tabir, kesemuanya boleh menggunakan Content Malaysia One Stop Pitching Centre dan dapat berkongsi idea dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang," katanya.
Fernandez berharap penerbit baharu yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan industri kreatif dapat mengambil peluang ini untuk mengembangkan idea serta mendapatkan khidmat nasihat untuk memajukan perniagaan mereka.
-Bernama

