Kerajaan memandang serius keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kadar tambang baru bagi pengangkutan awam khususnya teksi dan kereta sewa, kata Datuk Aziz Kaprawi.

Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga MP Sri Gading berharap kadar kenaikan tambang pengangkutan awam itu dikaji semula kerana dianggap "tinggi".

 

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu sepatutnya mengadakan perbincangan bersama dengan kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mencapai keputusan yang terbaik mengenai kadar baru itu.

"Kita tidak seharusnya membebankan rakyat terutama mereka yang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan harian mereka, kerana jika ia diteruskan ini akan meningkatkan kos perbelanjaan mereka," katanya.

Semalam SPAD mengumumkan kadar kenaikan bagi teksi sebanyak 20 hingga 67 peratus yang berkuatkuasa serta merta, manakala untuk bas ekspres bermula 15 Mei depan. Perkhidmatan KTM Komuter turut mengalami peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei ini.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Dalam kenyataannya, Aziz yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengakui masalah yang dihadapi syarikat pengangkutan awam dan pemilik teksi dan kerajaan yang akan mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang itu.

"Sebagai contoh perlu ada garis panduan dalam menentukan paras tambang yang berpatutan agar mampu dibayar oleh semua golongan masyarakat," katanya yang juga MP Sri Gading.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata atas alasan apa sekalipun kenaikan tambang pengangkutan awam itu masih tidak relevan dan perlu dikaji semula.
 
"Kalau dalam keadaan harga minyak mentah turun, macam mana rakyat mahu percaya kos lain telah meningkat. Kalau mahu disandarkan mahu meninggikan khidmat, kita tidak tahu apa yang mahu ditingkatkan.
 
"Kalau harga seperti tambang ini meningkat bagaimana harga barangan akan turun. Maklum balas yang kita terima mengenai kenaikan tambang itu adalah tidak baik dan telah mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Rakyat Wanita Umno Johor di Muar.
 
Razali yang jugaa anggota Parlimen Muar berkata beliau secara peribadi sangat terkilan dengan kenaikan tambang berkenaan yang menyifatkan SPAD tidak mengambil kira kepentingan awam dalam membuat keputusan itu.
 
Pergerakan Pemuda Umno Johor dalam satu kenyataan turut mendesak suruhanjaya itu supaya mengkaji semula kenaikan itu berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.
 
Ketuanya Hahasrin Hashim berkata kenaikan yang terlalu mengejut dan mendadak itu dikhuatiri membebankan rakyat.
 
"SPAD perlu ambil pendekatan yang bertimbang rasa dan mesra pengguna dalam isu kenaikan harga pengangkutan awam. 
   
 "SPAD seharusnya tampil dengan memainkan peranan sebagai ejen mempromosi kemudahan awam dan bukannya membebankan pengguna dengan harga tambang yang
tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
 
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Malaysia (TWU) Tan Sri Zainal Rampak berkata kenaikan tambang yang terlalu tinggi itu seolah-olah tidak mengambil kira kepentingan rakyat berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan awam sebagai pengangkutan utama. 
    
"TWU bersetuju dengan kenaikan tambang, tetapi haruslah tidak terlalu tinggi yang akan membebankan rakyat tambahan pula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April ini," katanya dalam satu kenyataan.