Seperti yang diduga, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam muncul sebagai dua calon paling popular di kalangan perwakilan Umno bagi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Sehingga ini, Mustapa yang juga Pengerusi Umno Kelantan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berada di tempat teratas pilihan para perwakilan, manakala Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka di tempat kedua.

Satu perkembangan yang dianggap menarik ialah persaingan bagi kedudukan ketiga di antara Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Abdul Samad dan penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan para perwakilan, kedudukan ketiga-tiga calon Naib Presiden tersebut dibuat berasaskan interaksi dengan para perwakilan daripada Kumpulan G6 dan G7.

G6 merupakan ketua, timbalan dan naib ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang dilantik secara automatik sebagai perwakilan kerana jawatan yang mereka sandang.

Manakala G7 pula terdiri daripada perwakilan yang dilantik dalam mesyuarat perwakilan bahagian bulan lalu.

Maklumat

Kumpulan G6 lebih cenderung menyokong calon-calon tajaan Kelab Menteri Besar manakala sokongan perwakilan daripada G7 pula tertumpu kepada calon-calon dari kalangan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen.

Ketika ditanya mengenai kesahihan telahan mengenai kedudukan calon-calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden, sumber-sumber itu berkata: "Maklumat mengenai kedudukan terkini sokongan para perwakilan diperolehi oleh tukang kempen calon-calon berkenaan...bagi saya ia boleh dipercayai."

Bagaimanapun, sumber-sumber tersebut mengakui bahawa adalah terlalu awal untuk berpegang kepada kedudukan tersebut tetapi menurutnya, ia menunjukkan betapa sengitnya pertandingan bagi jawatan Naib Presiden kali ini.

"Kedudukan tersebut tentunya mendapat perhatian kerana kedua-dua penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhd Taib agak tercicir," tambahnya.

Katanya, mengikut kedudukan terkini, Muhyiddin berada di tempat keempat dan diikuti oleh Datuk Shahrir Samad dan Datuk Adnan Yaakob.

"Betul tak betul itu soal kedua...tetapi bagi kami yang berkempen bagi calon kami, apa juga maklumat mengenai sokongan perwakilan amat penting kepada kami...setakat ini, kedudukan calon saya agak selesa," tambahnya.

Peraturan

Menurutnya lagi, beliau mengambil kira semua maklumat dan maklumbalas yang diterima mengenai calon sokongannya dan calon-calon lain bagi memastikan keberkesanan kempen yang dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, kempen-kempen yang dijalankan oleh semua agen dan wakil calon-calon yang bertanding sehingga ini mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT).

"Setakat ini, dari pemerhatian saya, mereka yang berkempen, baik bagi jawatan Naib Presiden, MT dan juga exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, semuanya mematuhi peraturan tersebut," tambahnya.

Namun begitu, katanya, persaingan dan kempen yang menjadi lebih hebat dan panas lagi apabila tempoh pemilihan parti semakin dekat.

Pemilihan jawatan tinggi Umno akan berlangsung sewaktu perhimpunan agung parti itu pada 23 September depan.

Mengenai kedudukan 59 calon MT pula, sumber-sumber berkata, setakat ini keadaannya masih belum stabil dan kedudukan sokongan kepada calon-calonnya dari kalangan Menteri Besar dan Menteri sentiasa berubah-ubah.