Seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang membuat laporan polis berhubung kenyataan akhbar pemimpin Umno yang mendakwa kononnya penyokong PAS telah membuang bendera Umno.

Pengundi tersebut, Muhammad Abdul Hadi Mohd, 23, membuat laporan itu di Balai Polis Hulu Terengganu petang semalam.

Menurut Harakah Online , dalam laporannya, Muhammad mendakwa kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berhubung dakwaan tersebut, dibuat tanpa bukti, terhadap ahli dan penyokong PAS kononnya membuang bendera Umno dan melakukan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Kenyataan Muhd Taib itu telah disiarkan di halaman 7 akhbar Berita Harian pada 16 Ogos lalu.

Laporan polis itu membabitkan kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Rosol Wahid dalam akhbar, tarikh dan mukasurat yang sama, yang didakwa, telah menuduh tanpa bukti terhadap ahli dan penyokong PAS kononnya mencampakkan bendera Umno pada jam 12 malam dan membawa budaya samseng.

Laporan itu juga merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh juga dalam akhbar dan tarikh serta mukasurat yang sama, yang didakwa membuat kenyataan palsu (di perenggan keempat) yang menyatakan kononnya tidak ada sebarang projek pembangunan dilaksanakan sepanjang pemerintahan PAS.

Langgar akta

Muhamad Abdul Hadi turut melampirkan bersama laporan polis itu petikan kenyataan yang disiarkan dalam akhbar berkenaan yang dibuat oleh ketiga-tiga pemimpin Umno tersebut.

Menurutnya, beliau memandang berat kenyataan pemimpin-pemimpin Umno tersebut kerana ianya dibuat ketika berlangsungnya tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Berang.

Beliau mendakwa kenyataan mereka boleh melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana pemimpin Umno/BN tersebut adalah `alter ego' bagi calon BN yang bertanding serta mempunyai kaitan dan pengaruh kepada keputusan yang dibuat parti Umno dan BN secara kolektif.

Menurutnya lagi, kenyataan mereka boleh melanggar akta tersebut, iaitu Pengembangan Unsur Perasaan Jahat atau Permusuhan (Seksyen.4A) dan Pengaruh Yang Tak Berpatutan atau Tidak Wajar (Seksyen 9) yang membolehkan pencalonan calon parti mereka, BN dibatalkan menurut kaedah-kaedah tertentu.

Katanya, jika setelah disiasat dan dakwaan mereka terbukti tidak benar, mereka harus didakwa mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 500 yang boleh menyebabkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Puteri Umno

Beliau mendakwa tindak tanduk mereka itu boleh ditafsirkan sebagai salah laku yang umumnya boleh menyentuh dan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kecil itu berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.

Muhammad Abdul Hadi juga mahu supaya Ketua Pengarang akhbar Berita Harian turut disiasat di bawah undang-undang yang berkaitan, memandangkan beliau terlibat menyunting, mengeluarkan dan menerbitkan akhbar yang mengandungi perlanggaran-perlanggaran tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Puteri Umno Malaysia akan mengadakan "Program English On Wheels" di semua peti undi dalam DUN Kuala Berang sebagai sumbangan sayap Umno itu kepada masyarakat tempatan.

Naib Ketuanya, Noraini Ahmad berkata, pihaknya telah membentuk lapan pasukan untuk menjayakan program tersebut dalam usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Jentera kita ini adalah pasukan sukarela dan mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan program tersebut yang akan tumpukan di semua lapan peti undi dalam DUN Kuala Berang.

"Ia lebih kepada program menghampiri pelajar bagi mendedahkan mereka kepada penguasaan bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita selepas melawat program tersebut di Sekolah Kebangsaan Telaga di Kuala Berang petang ini.