Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mempersoalkan gesaan yang dibuat oleh Pembangkang Selangor supaya menukar penasihat ekonomi negeri.

Malah, ADUN Bukit Antarabangsa itu secara berseloroh turut bertanya sama ada ADUN Sungai Burong Datuk Shamsudin Lias .layak dilantik sebagai penasihat ekonomi bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa masalahnya? Untuk apa? Takkan hanya cadangan Sungai Burong, Selangor perlu akur dan lantik penasihat ekonomi lain. Shamsudin tidak berhak untuk putuskan lantikan ini.

"Tak kan saya nak lantik (ADUN) Sungai Burong (sebagai penasihat ekonomi)?," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Annex, Shah Alam hari ini.

Terdahulu dalam satu sidang media, Shamsudin menggesa kerajaan negeri melantik pemimpin lain di jawatan penasihat ekonomi negeri bagi menggantikan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara.

Bekas ketua pembangkang itu memberi alasan, Anwar mempunyai akses yang terhad ketika berada di penjara.

Katanya, Azmin perlu berani bertindak demikian kerana terdapat ramai lagi pakar ekonomi yang mampu berkhidmat di jawatan itu.

"Sudah sampai masanya (tukar penasihat ekonomi). Cuba fikirkan, macam mana hendak jadi penasihat apabila orang itu duduk di dalam penjara?

Kita sekarang kekalkan penasihat yang terhad keupayaannya. Ramai lagi pakar ekonomi yang hebat di luar sana, kenapa tidak ambil mereka? Ambil sajalah mereka.

“Kita perlu maju ke depan. Ini yang kita cadangkan," katanya dalam sidang media di lobi bangunan Annex hari ini.

Malah, Shamsudin turut mencadangkan, sekiranya tiada calon yang sesuai bagi menggantikan Anwar, beliau supaya meminta Azmin sendiri yang menjadi penasihat ekonomi negeri.

"Tuanku dah titahkan supaya negeri ini maju ke hadapan, Selangor mesti ada penasihat ekonomi yang betul.

"Gantilah orang lain. Kalau tiada penasihat pun tidak apa. Dia (Azmin) sebagai menteri besar perlu memberi nasihat tentang ekonomi Selangor. Mungkin akan lebih baik,"katanya lagi.

Lihat Komen
ADS