Kajian K'tan: 91.7% rakyatnya sokong hudud
Diterbitkan: Apr 2, 2015 10:33 AM | Dikemas kini: Apr 2, 2015 11:52 AM
Kajian yang dibuat terhadap rakyat Kelantan mendapati 91.7 peratus amat menyokong perlaksanaan hudud, kata ahli panel Jawatankuasa Pelaksanaan Hudud Kelantan, Azhar Abdullah.
“Kita telah buat kajian melalui pesanan ringkas SMS kepada rakyat Kelantan yang mana kita menghantar lebih kurang 77 ribu SMS kepada responden.
“Soalan kepada responden ialah kerajaan Kelantan patut terus atau tidak (hudud). Semua 29 DUN telah kita hantar SMS dan keputusannya adalah 91.7 peratus amat menyokong," katanya
“Ini menggambarkan hasrat rakyat Kelantan yang begitu tinggi terhadap perlaksanaan hudud," kata Azhar (kanan) dalam satu forum hudud anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya malam tadi.
Turut bercakap di forum itu ialah bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga; Exco Pemuda Umno, Fathul Bari dan Dekan Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Prof Nazari Ismail dan Pensyarah Kanan UM, Siti Zubaidah Ismail.
Katanya, kelulusan rang undang-undang pindaan hudud Kelantan menunjukkan negeri itu terlalu melangkah ke depan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.
“Ini satu sikap proaktif Kelantan, walaupun satu peratus peluang, kita ada semangat untuk menerokai sesuatu yang tak pernah lakukan dalam Malaysia.
“Sejak kita merdeka, kita kena akui bahawa kita tidak pernah ada suatu undang-undang hudud. Jadi kita telah membuka satu lembaran baru dalam bidang perundangan untuk kita bincangkan satu isu yang kita tidak pernah ketengahkan,” katanya.
Katanya, Kelantan akan mengikut proses demokrasi berparlimen dan memelihara semangat federalism dalam memperjuangkan undang-undang hudud.

