PTPTN: Pelajar sambut dingin kenyataan TPM
Hasrat kerajaan untuk mengkaji kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam masa dua minggu disambut dingin oleh persatuan-persatuan pelajar hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi hari ini dilaporkan berkata kabinet akan memutuskan untuk menghapuskan atau mengurangkan kadar itu dalam tempoh itu. Keputusan itu akan mengambil kira pandangan pemimpin-pemimpin pelajar seperti disuarakan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) semalam, katanya lagi.
Tiga persatuan utama pelajar tidak menjangkakan kerajaan bersedia menghapuskan kadar itu seperti dituntut dalam kempen mereka sejak Januari lalu.
"(Saya meletakkan harapan) 50 peratus sahaja," kata Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Nor Syamnina Che Abdul Rahim, apabila ditanya sama ada kerajaan sanggup menghapuskan kadar itu.
Nor Syamnina adalah seorang wakil persatuan itu yang menghadiri mesyuarat MPPK di Putajaya semalam.
Sementara seorang pemimpin Pergerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Lee Khai Loon menjangkakan "tiada apa-apa hasil" akan diperolehi daripada keputusan yang akan diumumkan itu.
"Kita boleh lihat (sikap kerajaan itu) ketika kami menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, beliau tidak ikhlas kerana hanya menghantar seorang pengawal peribadi untuk menerimanya," kata Lee.
Pada 16 April lalu, kira-kira 300 pelajar daripada empat persatuan, termasuk Dema, menghantar memorandum lima perkara, termasuk menghapuskan kadar empat peratus PTPTN.
Setiausaha Agung Gabungan Mahasiswa Siswa Islam Semenanjung (Gamis), Muhammad Faisal Abdul Rahman berpendapat kerajaan hanya akan mengurangkan kadar itu apabila keputusan itu diumumkan kerajaan dua minggu nanti.
"Saya sendiri pernah berjumpa dengan seorang pegawai di Kementerian Kewangan, dan beliau memberitahu bahawa kerajaan tidak akan menghapuskan kadar empat peratus itu tetapi hanya mengurangkannya," kata Muhammad Faisal kepada malaysiakini .
Beliau juga mendakwa Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad "telah gagal dalam menjalankan tugasnya" dan persatuan pelajar tidak bercadang mengadakan perbincangan dengan menteri itu lagi.
"Kami tidak mahu berjumpa dengan beliau (Musa) lagi. Kami sekarang menaruh harapan kepada ' second man ' (Timbalan Perdana Menteri)," tambah Faisal.
Nor Syamnina bagaimanapun berkata jika kerajaan tidak menghapuskan kadar itu, kerajaan harus memperkenalkan semula pinjaman boleh ubah atau kaedah melupuskan bayaran balik pinjaman apabila pelajar mencapai keputusan cemerlang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.