Penyelaras jentera Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Kuala Berang, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata penyokong-penyokong PAS bersikap ganas malam tadi hingga ada yang menunjukkan parang kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Katanya, Mohamad Khir dan rombongan ketika itu sedang membuat lawatan dari rumah ke rumah di Kampung Telaga dekat Kuala Berang.

Muhammad berkata beliau bimbang penyokong-penyokong PAS, khususnya yang datang dari luar Terengganu, akan bertindak lebih agresif menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memberi jaminan bahawa jentera parti itu akan berkempen secara sopan dan beradab untuk pilihanraya kecil itu, yang melibatkan calon PAS Mahyuddin Abdul Rashid dan calon BN Mohd Zawawi Ismail.

Muhammad berkata beliau juga menerima laporan bahawa penyokong-penyokong PAS telah mengganggu satu ceramah BN juga di Kampung Telaga.

Pembesar suara

"Bila mula ceramah, dia (PAS) buka pembesar suara kuat-kuat sehingga orang tidak dengar apa-apa pun," katanya.

Beliau berkata BN akan membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana perbuatan itu melanggar peraturan pilihanraya.

Mengenai satu perkara lain, Muhammad, yang juga Naib Presiden Umno, mengingatkan para pemimpin dan ahli Umno yang datang ke Kuala Berang, supaya tidak mengambil kesempatan untuk berkempen bagi meraih sokongan menjelang pemilihan parti pada perhimpunan agungnya bulan depan.

Sebaliknya, beliau meminta mereka menumpukan kepada usaha membantu calon BN memenangi kerusi itu.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Komaruddin Abdul Rahman, 46, dari BN pada 30 Julai lepas akibat serangan jantung.