Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai membidas DAP susulan tindakan PAS mahu membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud di Parlimen hari ini.

“Selain PAS, DAP mesti bertanggungjawab terhadap rang undang-undang ni.

"DAP sudah terlalu lama lari daripada tanggungjawabnya, menipu rakyat sekian lama.

“DAP terus menipu rakyat negara ini, mereka turus main politik dengan hudud,” kata Liow dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Liow juga mengisytiharkan MCA menentang hudud sejak awal lagi dan telah membangkitkan bantahan mereka dalam mesyuarat BN.

Beliau mengulangi pendirian mereka bahawa hudud bertentangan dengan hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak dapat bercakap bagi pihak kerajaan, Liow menegaskan bahawa bawah kepimpinannya, kesemua anggota Parlimen MCA akan menentang rang undang-undang hudud.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( kanan ) mungkin akan membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Parlimen hari ini.

Rang undang-undang bagi untuk meminda akta mahkamah syariah itu dimuat dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu antaranya mahu menambah bidang kuasa mahkamah syariah.

[Baca berita asal]