Sisters in Islam (SIS) hari ini menyatakan harapannya supaya rang undang-undang hudud yang mungkin dibentangkan presiden PAS di Parlimen hari ini, ditolak.

NGO kontroversi itu sekali lagi menegaskan bahawa tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu ultra-vires dengan banyak perkara dalam perlembagaan, termasuk Perkara 75, 76 dan 76A.

Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Negeri Kelantan 1993 juga, kata mereka, bertentangan dengan doktrin asas Perlembagaan.

“Kami juga menggesa agar PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan memberikan lebih tumpuan dan prioriti kepada pembangunan ekonomi negeri dan pembangunan pascabanjir kerana ia lebih menepati Maqasid Syariah dan tanggungjawab kepimpinan dalam Islam,” kata SIS.

Dalam kenyataannya hari ini, SIS juga meluahkan rasa kecewanya dengan tindakan Hadi, anggota Parlimen Marang, susulan langkah itu.

Kenyataan SIS itu dilihat melawan arus apabila kebanyakan NGO Melayu-Islam setakat ini secara dasarnya menyatakan sokongan terhadap hukum yang disebut dalam al-Quran itu.

Hadi mungkin akan membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Parlimen hari ini.

Rang undang-undang bagi untuk meminda akta mahkamah syariah itu dimuat dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu antaranya mahu me menambah bidang kuasa mahkamah syariah, yang kini hanya diperuntukkan hukuman maksimum  tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan.

Selain 21 undi daripada partinya, PAS dilihat meletakkan harapan kepada anggota Parlimen beragama Islam, termasuk Umno dan PKR untuk menyokongnya.