14 lagi rakyat M'sia dari Yaman tiba malam tadi
Seramai 14 lagi rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Yaman selamat tiba di tanah air dengan Penerbangan Qatar Airways QR852 yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, 8.50 malam tadi, demikian menurut jurucakap Kementerian Luar.
Jurucakap itu berkata mereka telah berlepas dari Doha.
Ini menjadikan seramai 121 orang rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Yaman selamat tiba di tanah air, berikutan pergolakan di negara itu.
Mereka tiba menerusi empat penerbangan malam tadi.
Seramai 107 orang tiba menerusi tiga penerbangan lebih awal.
Malaysia Airlines MH151, mendarat pada jam 11.58 pagi dan membawa 49 orang; penerbangan Sri Lankan Airlines UL314 mendarat pada pukul 2.05 petang (17 orang) dan penerbangan Emirates EK346 mendarat pada pukul 3 petang (41 orang).
"Esok 32 lagi rakyat Malaysia dijangka dibawa pulang ke Malaysia menerusi dua penerbangan iaitu Malaysia Airlines MH151 dan Saudi Airlines SV832," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Katanya, penerbangan MH151 yang akan membawa 27 orang rakyat Malaysia dijangka tiba di KLIA pada pukul 11 pagi sementara penerbangan SV832 yang membawa lima rakyat Malaysia dijangka tiba pada pukul 1 tengah hari.
- Bernama

