Kematian dalam tahanan: Hanya 4 orang salah
Polis hanya bertindak terhadap empat anggotanya yang dikaitkan dengan kes kematian dalam tahanan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata berdasarkan rekod polis, empat orang anggota polis dikenakan tindakan disiplin kerana gagal bertindak segera sehingga menyebabkan kematian dalam tahanan.
Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Thomas Su (DAP-Ipoh Timor). Bagaimanapun Zahid tidak menyebut tempoh masa tindakan itu diambil terhadap anggota polis berkenaaan.
Zahid menambah jumlah itu tidak termasuk anggora polis yang sedang berdepan dengan perbicaraan.
"Tindakan ini adalah berasingan daripada kes yang telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan bagi kesalahan menyebabkan kematian dalam tahanan," kata Zahid jawapan bertulis itu.
Ahli parlimen Bagan Datoh itu juga berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai polis dan penguatkuasa yang disyaki menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian semasa dalam tahanan.
"Kementerian memandang serius dan sentiasa komited dalam mengelakkan kejadian kematian dalam tahanan polis atau agendi penguatkuasa yang lain.
"Setiap aduan berkaitan kecederaan atau kematian semasa dalam tahanan akan disiasat dan tindakan sewajarnya oleh kementerian akan diambil sama ada dari sudut tatatertib atau mencadangkan kepada pihak pendakwaraya untuk dituduh di mahkamah," katanya lagi.
Menurut NGO hak asasi Suaram sebanyak enam kes kematian dalam tahanan dilaporkan pada tahun ini.
Kumpulan itu juga melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 220 kematian dalam tahanan antara 2000 dan Mei 2013.

