Pengguna telefon prabayar dinasihat cari alternatif
Pengguna yang mendapati sukar untuk mendapatkan kad prabayar atau untuk tambah nilai harus menggunakan kaedah bayaran pos sebagai alternatif kerana ia lebih murah dalam jangka panjang, kata seorang peniaga telekomunikasi terkemuka.
Pengarah Urusan Hussein Resources Sdn. Bhd., Saifuddin S. Hussein, berkata punca kekurangan kad prabayar ialah kekeliruan mengenai kadar levi enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Peniaga tidak jelas sama ada untuk menyerap cukai itu atau mengenakannya ke atas pengguna," kata beliau.
Ketika kekeliruan ini sedang diselesaikan, pengguna dinasihatkan untuk mencari alternatif supaya keperluan komunikasi mereka tidak terganggu, katanya.
Saifuddin yang mengendalikan syarikat telekomunikasi utama mengulas aduan yang diterima oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), bahawa pengguna mendakwa sukar untuk membeli kad tambah nilai prabayar sejak pelaksanaan GST pada 1 April.
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan membebankan pengguna.
- Bernama

