Kastam: Di mana-mana tambah nilai harga sama
Pengarah Bahagian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam berkata tidak menjadi kesalahan sekiranya peruncit menjual tambah nilai prabayar dengan tambahan cukai enam peratus kepada pengguna.
“Pengguna tidak akan rugi, apa juga keputusan, GST pada kad prabayar ini dikutip upfront .
“Tak kira di mana kad tambah nilai itu dijual, daftar atau tidak berdaftar harganya sama,” katanya dalam sidang media berkenaan GST di Putrajaya.
Jelasnya lagi, pekedai mendapat keuntungan yang sama sebelum perlaksanaan GST.
Manakala pembeli pula, katanya, mendapat jumlah tambah nilai yang lebih.
Subromaniam bagaimanapun berkata kekeliruan dalam perkara itu akan diselesaikan dengan empat syarikat telekomunikasi utama dalam masa satu bulan.
Tinjauan Malaysiakini semalam mendapati ada kalangan peruncit menghentikan jualan tambah nilai kerana keliru dan bimbang rugi selepas GST diperkenal.
Aduan tambah nilai turun
Sementara itu, masuk hari ke lapan GST dilaksanakan, sebanyak 3,461 aduan elektronik diterima pihak itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata aduan mengenai tambah nilai prabayar berkurangan kepada 35 peratus.
"Aduan paling popular berkenaan kad tambah nilai dijual di pelbagai kedai dan premis dikenakan GST iaitu sebanyak 33 peratus daripada jumlah aduan diterima," katanya.
Bagaimanapun, katanya, aduan berkaitan harga barang pula meningkat.
Aduan itu, menurut Alias melibatkan 19 peratus berkaitan harga restoran, susu tepung (5 peratus) dan lampin pakai buang bayi (3 peratus).
Manakala aduan dan pertanyaan melalui laman sosial pula mencatat angka lebih tinggi sebanyak 4,773 dalam tempoh lapan hari GST dimulakan.

