Tiga wakil pelajar yang sedang berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai tiba-tiba meninggalkan pegawai tinggi itu sebagai membantah tindakannya mengarahkan lencana 'Mansuhkan ISA' dibuang dari baju mereka.

Apabila dihubungi selepas itu, seorang daripada wakil itu Lee Khai Loon daripada Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) menyifatkan pertemuan dengan Norian petang tadi sebagai "membuang masa."

Pertemuan itu di ibu pejabat polis Bukit Aman diadakan ketika mereka menyerahkan memorandum sebagai sebahagian kempen membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dianjurkan gabungan beberapa kumpulan pelajar institusi pengajian tinggi.

Menurut Lee, Norian memberitahu mereka bahawa tahanan ISA "selamat dan tidak akan didera secara fizikal."

Ketua polis itu juga berkata tarikh untuk lawatan lima lagi tahanan ISA masih belum ditetapkan tetapi mereka akan dibenarkan lawatan keluarga, tambah Lee.

Lima daripada 10 pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi yang belum dibenarkan sebarang lawatan adalah Naib Presiden Tian Chua, aktivis-aktivis Pemuda parti itu N Gobalakrishnan serta Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais, dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail.

Semua mereka ditahan antara 10 hingga 26 April lalu.

Gabungan itu yang menggelarkan 'Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA' (GMMI) dianggotai oleh 12 kumpulan, termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Dema dan Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM).

Memorandum itu antara lain menggesa kerajaan memansuhkan ISA dan membebaskan semua tahanan politik yang ditahan di bawah akta itu.