Rang Undang-undang Akta Hasutan (Pindaan) diluluskan dengan pindaan pada jam 2.30 pagi ini melalui undian suara selepas dibahaskan selama 12 jam.

Ini adalah kali ketiga rang undang-undang yang diluluskan minggu ini selepas tengah malam.

Usul untuk menghentikan jam yang dibentangkan pada jam 11.57 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin.

"Ia adalah satu langkah ke arah yang salah [...] ia akan pasti memberi kesan buruk kepada kebebasan bersuara," kata Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) (kanan) kepada Malaysiakini dalam reaksi segeranya selepas rang undang-undang itu diluluskan.

Pihak pembangkang berjuang sepanjang rang undang-undang itu dibahaskan tetapi mereka kalah ketika pengundian.

Bacaan kedua diluluskan  dengan undi 109-79.

Tujuh Ahli Parlimen Pakatan yang tidak hadir semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa ialah Datuk Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) Liew Chin Tong (DAP-Kluang), Fuziah Salleh (PKR- Kuantan), Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).  [Berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan antara isu utama yang hangat diperdebatkan anggota Parlimen termasuk kekhuatiran akta itu menjurus kepada penyalahgunaan kuasa susulan definisi 'kecenderungan menghasut' dalam rang undang-undang itu, yang disifatkan kurang jelas dan boleh menjurus kepada penyalahgunaan oleh pihak berkuasa apabila akta itu diwartakan kelak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, bagaimanapun memberi jaminan bahawa penyalahgunaan tidak akan berlaku dalam penguatkuasaan akta tersebut kerana sesuatu kes akan dibawa ke mahkamah hanya selepas pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh.

Ini kerana, beliau berkata sekiranya seseorang ditangkap dan disiasat di bawah akta itu, tidak semestinya akan didakwa di mahkamah.

"Perkara itu bergantung kepada Peguam Negara, jika dia yakin ada kes baru, pendakwaan akan dibuat. Kita ada banyak kes di mana polis jalankan siasatan tapi pendakwaan tidak dibuat oleh Peguam Negara," katanya.

Berhubung definisi 'hasutan', Ahmad Zahid berkata ia telah dinyatakan secara jelas di bawah rang undang-undang berkenaan.

Ahmad Zahid dalam hujahnya beberapa kali, menegaskan bahawa langkah mengekalkan Akta Hasutan 1948 adalah perlu demi melindungi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama bagi mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku di negara ini.

Ini kerana, katanya akta itu yang telah sekian lama digunakan terbukti keberkesanannya sebagai alat paling berkesan untuk menghadapi isu-isu berbaur hasutan dalam memastikan keamanan yang dikecapi selama ini akan terus terpelihara. 

Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 yang bersidang selama 20 hari bermula 9 Mac lepas, ditangguhkan hari ini ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

   

Penangguhan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 4.25 pagi ini, iaitu persidangan sehari paling lama dalam sejarah Persidangan Dewan Rakyat.

Sepanjang persidangan berlangsung, Dewan Rakyat telah meluluskan 12 rang undang-undang terdiri daripada enam rang undang-undang baru dan enam pindaan akta.

Rang undang-undang baharu termasuk Rang Undang-Undang Teknologis dan Juruteknik 2014; Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

Turut diluluskan, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015; Rang Undang-Undang Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2014) 2015.

Pindaan akta yang diluluskan pula ialah Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2014. 

   

Sementara, sebanyak lapan rang undang-undang lain yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama dan kedua pada persidangan kali ini, ditangguhkan ke

persidangan akan datang.

   

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan) 2014; Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015.

   

Rang undang-undang lain adalah Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Ahli Kimia (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan 2015.