Mahkamah Tinggi hari ini memansuhkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini yang membebaskan 11 individu yang terlibat dalam perhimpunan BERSIH pada 2007.

Menurut Naib Presiden PKR Tian Chua, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 seorang.

Bagaimanapun, keputusan hari ini tidak melibatkan pembebasan Tian Chua dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

High court reversed the acquittal by Session Court & convict 11 participants in 2007 #Bersih rally, with the exception of Mat Sabu & I.

— Tian Chua (@tianchua) April 10, 2015

Ini bermaksud, Mohamad dan Tian Chua kekal bebas.

Mereka dituduh terlibat dalam perhimpunan haram di beberapa tempat di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zad Abdullah, Mohd Salim Yeslam, Abdul Razali Abdul Rahman, Razali Abdul, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin dan Ishak Othman.

Tee membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengingkari arahan polis untuk bersurai dalam perhimpunan itu.

Hakim juga memerintahkan setiap mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu. 

Dalam keputusannya, Tee berkata pembelaan yang dikemukakan kesemua mereka semasa di Mahkamah Sesyen adalah bersifat sesuatu yang ditambah atau difikirkan kemudian.

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika menyatakan bahawa saksi polis tidak mempunyai kredibiliti ketika memberi keterangan dalam kes itu. Mahkamah juga bersetuju bahawa pembelaan gagal membuktikan

keraguan munasabah dalam kes itu dan mahkamah berpuas hati keterangan saksi-saksi yang tidak konsisten," katanya.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa tempat sekitar ibu negara seperti di Jalan Raja Laut, Jalan Istana Baru dan Jalan Tun Perak antara 1 tengah hari dan 4 petang, 10 Nov 2007, mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama.

Bagaimanapun, Tee mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali Tian Chua daripada pertuduhan sama dengan sebelas lelaki itu.

Tee berkata, Hakim Mahkamah Sesyen tidak tersilap dalam membuat keputusan itu dan kegagalan pendakwaan mengemukakan rakaman video memberi kesan serius kepada kes itu.

Mahkamah juga  mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap bekas Anggota Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan kerana menyertai perhimpunan itu selepas membenarkan rayuannya.

Pada 27 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tee berkata bahawa hakim ketika itu tidak mengambil kira satu pun pembelaan yang dikemukakan Gobalakrishnan.

"Adalah tidak selamat untuk mensabitkan Gobalakrishnan terhadap pertuduhan itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu dan di tempat yang sama mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Israkh Saad dan Mohd Farizul Hassan Bakri manakala pembelaan diwakili peguam Nasar Khan Mirbas Khan dan Jason Tay.