Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan mengubah kerusi majoriti Melayu menjadi kerusi campuran ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata amalan gerimander atau mengubah sempadan pilihan raya untuk mendapat kelebihan politik tidak berlaku di Malaysia.

“Itu bukan SPR yang tukar, Itu adalah bergantung di mana pengundi mendaftarkan diri mengikut alamat kad pengenalannya.

“Bukannya SPR mengatur bahawa kamu (pengundi) pergi sini atau sana.

“Kalau dia (pengundi) nak tukar tempat lain, dia akan tukar alamat kad pengenalannya, SPR tidak boleh halang kalau seseorang nak tukar kad pengenalannya kerana ia diluluskan oleh JPN (Jabatan Pendaftaran Negara).

“Tetapi kalau ada bantahan, dia (pengundi) akan melalui proses inkuiri (untuk menentukan) betulkah dia duduk di situ, rumah alamatnya macam mana,” jelas Abdul Aziz kepada wartawan selepas sidang media di pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri mendakwa Mahathir ketika menjadi perdana menteri mengubah banyak kerusi majoriti kepada kerusi campuran.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata dakwaan Ismail Sabri itu semata-mata hanya urusan parti politik.

“SPR tidak mahu campur dalam hal parti politik,” katanya.

Tegasnya lagi, segala urusan persempadanan telah diuruskan mengikut proses undang-undang.

“Sama ada ia gerimander atau tidak, itu hanya tanggapan pihak-pihak tertentu.

“Proses yang kita buat adalah mengikut undang-undang. Kita ada dapat maklum balas, ada inkuiri, ada perjumpaan dan sebagainya,” katanya.

Lihat Komen
ADS