Laman pro-Umno giatkan serangan pada Dr M
Sebuah laman web pro-Umno hari ini "mencadangkan" supaya mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dilantik menjadi Ketua Audit Negara bagi menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malah, MyKMU.net menyarankan Mahathir menjadi pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) sekiranya beliau tidak sabar untuk menunggu hasil siasatan terhadap 1MDB.
Penulis yang menggunakan nama samaran "Cenderawasih" itu juga turut memerli sekiranya keputusan dan laporan penuh siasatan terhadap firma tersebut selesai, Mahathir boleh meminta salinan dan menelitinya puas-puas atau merebus salinannya.
“Jika tidak puas hati juga, boleh direbus salinan itu dan diminum airnya.
"Cuma penulis menyarankan supaya tidak berbuat demikian kerana ia akan membahayakan kesihatan Tun M," tulisan dalam laman web itu dipetik.
Penulis artikel itu juga terkejut apabila Mahathir menuduh Presiden Umno itu menyuruh ramai pihak untuk menyokongnya.
Sehubungan itu, artikel itu meminta supaya Mahathir tidak terlalu emosi dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Bila ‘terlajak’ menuduh begini, apa agaknya pandangan orang ramai seperti penulis terhadap Tun M? Penulis tidak mahu imej ‘lejen’ (legenda)Tun M tercalar di mata orang ramai," katanya.
Selain itu, artikel tersebut turut meminta bekas pemimpin selama 22 tahun itu tidak bersikap kebudak-budakan dengan meminta para penyokong Najib berkawan dengan jutawan Jho Low yang mempunyai hubungan yang dekat dengan keluarga Najib.
Justeru, MyKMU turut menggesa Mahathir menghentikan "percakaran" bersama Najib dan mengaturkan pertemuan bagi membantu Najib memantapkan negara.
Ini kerana, Mahathir perlu sedar bahawa Najib hanya mewarisi "kerosakan" kepemimpinannya terdahulu.
“Penulis menyokong Tun M dahulu, tapi tidak pula penulis berkawan dengan kawan-kawan rapat Tun M seperti Ananda Krishnan, Eric Chia, Robert Kuok dan sebagainya. Kalau penulis berkawan dengan mereka, sudah tentu dah jadi jutawan sekarang, kan?
"Pergilah minta pegawai Tun M mengatur pertemuan dengan Najib. Jika gagal kali pertama, boleh dianjurkan pertemuan kedua, ketiga, keempat, kelima mahupun ke seratus kali dalam usaha membantu dan memantapkan kepimpinan negara.
"Tun M perlu tahu dan sedar bahawa Najib mewarisi ‘kerosakan’ kepimpinan terdahulu yang dipilih oleh Tun M sendiri. Sepatutnya, Tun M membantu dengan cara membina dan bukannya meruntuhkan jemaah ‘tiang seri’, bukan?" katanya artikel itu lagi.
Semalam, Mahathir meneruskan serangannya kepada Najib dengan mengatakan, golongan yang menyokong pengerusi BN itu perlu juga menyokong 1MDB yang kini menanggung hutang RM42 bilion.

