'Haiwan aneh' berjaya ditangkap
Haiwan aneh dalam satu kawasan ladang kelapa sawit di Sarawak yang mencetus fenomena di media sosial awal tahun ini akhirnya berjaya ditangkap.
Haiwan tersebut, seekor beruang yang tidak berbulu dan dipercayai sakit, kini berada bawah jagaan Sarawak Forestry Corporation (SFC), lapor The Borneo Post.
“Kami akan selidik mengapa ia sakit dan tidak berbulu,” kata wakil SFC, Nickson Robi seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Penemuan haiwan terancam tersebut pada 2 April lalu adalah hasil operasi mencari yang menyelamat selepas satu video yang muncul awal tahun ini.
Rakaman video yang berlegar di laman sosial itu menunjukkan haiwan berkenaan merayap dengan lemah di celah-celah timbunan pelepah sawit.
Haiwan itu kemudiannya ditunjukkan melarikan diri ke kawasan paya.
Video terbaru pula menunjukkan beruang itu ditangkap dan diletakkan di dalam satu sangkar.
Rakaman itu menunjukkan haiwan terancam tersebut masih mampu meronta dan berusaha untuk melepaskan diri.
Laporan The Borneo Post turut menggariskan amaran daripada SFC agar orang ramai tidak menangkap, memburu, melindungi atau memakan haiwan yang dilindungi.
Beruang merupakan antara haiwan yang kini dalam kategori terancam di Malaysia, khususnya akibat pembukaan tanah berleluasa untuk kegiatan pertanian.

