'Layanan saksama tangani tuntutan pemisahan'
DAP Sarawak berkata satu-satunya cara untuk mengurangkan tuntutan pemisahan di Sabah dan Sawarak adalah dengan menangani ketidaksamaan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata meminda dan menggunakan Akta Hasutan untuk menanganinya adalah cara yang salah untuk melakukannya "kerana bagi setiap tindakan, akan ada reaksinya".
Chong yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching turut membahaskan pindaan Akta Hasutan di Parlimen.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Chong berkata, manakala beliau mungkin tidak menyokong gerakan pemisahan itu, tetapi beliau akan mempertahankan hak mereka menuntut referendum.
Bagi tempoh tiga tahun yang lalu, tuntutan pemisahan itu telah menjadi lebih kuat di Sabah dan Sarawak, sehingga Kerajaan Persekutuan memperkenalkan pindaan kepada Akta Hasutan bagi menangani perkara itu.
Rang undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 telah diluluskan oleh Parlimen pada jam 2.30 pagi semalam.
Chong berkata kerajaan persekutuan juga perlu menangani pelanggaran semangat Perjanjian Malaysia, yang melindungi hak-hak Sarawak dan Sabah.
Katanya, perjanjian itu adalah untuk membawa pembangunan di Sabah dan Sarawak setanding dengan pembangunan di Malaya,tetapi beliau mendakwa, kedua-dua negeri itu telah diabaikan.

