Percubaan sogok Puteri Umno di Kuala Berang
Ada di kalangan ahli Puteri Umno yang didatangi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menyogok wang bagi mendapatkan undi pada pemilihan Umno bulan depan.
Ada di kalangan ahli Puteri Umno yang didatangi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menyogok wang bagi mendapatkan undi pada pemilihan Umno bulan depan.
Ketika mendedahkan demikian, ketua pergerakan tersebut, Datuk Azalina Othman berkata ahli-ahli berkenaan didatangi pihak-pihak berkenaan sewaktu mereka berkempen bagi pilihanraya kecil Kuala Berang.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli terbabit supaya membuat laporan kepada Lembaga Disiplin mengenai perkara tersebut.
Bernama memetik Azalina sebagai berkata, beliau ada menerima laporan mengenai tindak-tanduk pihak berkenaan yang cuba 'membeli' undi daripada ahli-ahli pergerakan tersebut yang kini berada di Kuala Berang.
"Itu tidak betul, yang bertanding pun haruslah lebih profesional sebab parti datang dulu," katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum itu, beliau telah merasmikan Karnival Kanu Putrajaya dan Kejohanan Kanu Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia 2004 di Putrajaya.
Azalina yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata beliau telah mengarahkan naib ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad untuk memantau dan menyiasat perkara itu.
"Saya rasa amat terkilan kerana mereka di sana untuk memenangkan Barisan Nasional, kalau nak kempen pun biarlah lepas 28 haribulan (hari mengundi bagi pilihan raya kecil itu), bagilah peluang untuk Puteri bekerja untuk parti," katanya.
Azalina terpaksa melepaskan jawatan ketua Puteri Umno kerana faktor umur tetapi akan bertanding mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung sewaktu Perhimpunan Agung parti tersebut yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 23 September ini.
Kemuncak pemilihan tersebut ialah perebutan enam calon untuk merebut tiga jawatan Naib Presiden parti serta 25 kerusi MT Umno.
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden masing-masing dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno juga dimenangi tanpa bertanding. Pertandingan akan hanya membabitkan jawatan exco bagi ketiga-tiga pergerakan terbabit.

