Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM terkesan dengan pemergian JJ
Diterbitkan:  Apr 13, 2015 1:55 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Bukan sahaja daripada aspek politik, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan sangat terkesan dengan pemergian tragik Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada 4 April lalu.

Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin membangkitkan perananan Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai JJ sebagai ahli strategi, penasihat dan “sahabat keluarga” kepada Najib.

Malah, kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu, Jamaluddin dianggap sebagai “ketua turus de facto ” kepada perdana menteri walaupun jawatan itu tidak wujud secara rasmi dalam kerajaan.

“Ada orang yang tahu mengenai perdana menteri atau yang telah melihat gerak-geri beliau selepas kematian JJ mengatakan kesan emosi dan fizikal terhadap Mohd Najib sangat jelas,” kata Kadir.

Menulis dalam blognya hari ini, Kadir berkata bekas duta ke Amerika Syarikat itu terlibat menjenamakan semula Najib seperti Barrack Obama di Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya umum sebelum ini.

“Sebab itulah kita lihat Mohd Najib memerintah seolah-olah beliau seorang presiden dengan barisan kakitangan, penasihat dan pegawai khas sendiri,” tulis Kadir.

“Sahabat nombor satu AS” itu juga dikatakan melahirkan idea-idea untuk menonjolkan Najib melebihi Umno dan BN melalui slogan seperti “I Love PM” dan “Sokong Saya Undi BN” serta penggunaan media baru.

Bagaimanapun, katanya, walaupun strategi itu tidak berhasil dan BN hampir kalah dilanda “Tsunami Cina”, tiada siapa pun menuding jari kepada allahyarham.

Pembiayaan politik terjejas?

Sebaliknya, kata Kadir,beliau menjadi lebih berpengaruh dan disanjung Najib, digeruni orang di sekeliling perdana menteri, “hatta Umno dikatakan mendengar cakap beliau”.

Justeru, memetik pandangan seorang kawan JJ, Kadir berkata kematian allahyarham memberi kesan besar kepada pentadbiran Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Apatah lagi turut terkorban adalah ketua setiausaha sulit Perdana Menteri, (Datuk) Azlin Alias. JJ dan Azlin ibarat jari dengan kuku,” katanya.

“Selain memegang kunci kepada jentera politik, propaganda dan penjenamaan Mohd Najib, allahyarham juga diketahui memainkan peranan penting dalam pembiayaan politik perdana menteri.”

Kadir juga membangkitkan siapa yang akan menggantikan Kadir sebagai “operator nombor satu PMO” dan sejauh manakah pembiayaan politik perdana menteri terjejas akibat kematian mengejut itu.

“Ada pihak mengatakan Setiausaha Agung Umno merangkap menteri Wilayah Persekutuan, Tengku (Teuku) Adnan Mansor, mungkin mengisi kekosongan itu. Ini berdasarkan kenyaringan beliau membela dan mempertahankan perdana menteri.

“Namun saya kurang yakin dengan ramalan ini. Rasanya sukar bagi Mohd Najib mencari pengganti serupa seperti JJ,” tambah Kadir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS