PAS akan mengumumkan calon parti untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 20 April ini, kata Naib Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

    

Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang dilantik sebagai pengarah Jawatankuasa parti bagi PRK itu berkata, setakat ini parti masih menunggu senarai cadangan calon daripada PAS Rompin untuk dipertimbangkan.

    

"Setelah selesai penerimaan bagi calon-calon ini, PAS negeri akan membuat keputusan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Jawatankuasa PAS Pusat di ibu negara hari ini.

    

PRK Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei ini berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam satu nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

    

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Mengulas sama ada PAS mungkin mengekalkan calon terdahulu atau melantik calon muka baru, Tuan Ibrahim berkata terpulang pada keputusan perbincangan nanti namun yang pasti calon adalah anak setempat.

    

Beliau berkata pada PRK kali ini, objektif utama PAS ialah mengambil peluang untuk menerangkan isu-isu semasa kepada penduduk setempat.

    

"Malaysia ini jika ada PRK ... macam-macam kemajuan yang boleh mereka (penduduk) perolehi, jalan berturap, bina masjid, oleh itu kami bertanding kali ini bukan untuk menang, tetapi mengambil manfaat rakyat sempena sistem demokrasi kita," katanya.

    

-Bernama