Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menggesa kerajaan supaya menghentikan penggunaan Akta Hasutan yang turut mengancam dan mendakwa wartawan bebas.

CPJ yang mengutuk pindaaan Akta Hasutan yang telah diluluskan minggu lalu turut menggesa kerajaan supaya memansuhkan "hukuman yang melaumpau" itu.

Ini kerana, katanya, akta itu sepatutnya perlu memberi tumpuan bagi menjamin kebebasan akhbar termasuk media atas talian dan NGO yang mempertahankan kebebasan akhbar di seluruh dunia.

"Pengukuhan Akta Hasutan yang sudah zalim itu menunjukkan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdesak untuk menutup mulut media yang mengkritik kerajaannya," kata wakil kanan CPJ Asia Tenggara, Shawn Crispin dalam kenyataan medianya.

Selain itu, menurut kajian yang dilakukan oleh CPJ, pihak berkuasa kerap menyalahgunakan peruntukanbawah undang-undang era kolonial itu untuk mengancam wartawan yang memberi laporan secara kritikal terhadap kerajaan atau badan kehakiman.

"Dalam beberapa minggu ini, kerajaan perdana menteri Najib meningkatkan tekanan ke atas media bebas atas talian dan para wartawan melalui tuduhan hasutan, kata kajian CPJ."

Ia dapat dilihat, kata Crispin, apabila kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar yang dikenakan sembilan pertuduhan kerana menghasut berhubung tweet beliau, ekoran kritikannya terhadap penghakiman Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Februari lalu.

Pihak polis sebelum ini juga telah menahan tiga editor dan dua ketua eksekutif The Malaysian Insider dan The Edge berhubung laporan mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan.

Undang-undang itu juga telah banyak digunakan untuk mengugut ahli-ahli politik pembangkang, ahli akademik dan aktivis.

Parlimen pada Jumaat lalu meluluskan pindaan Akta Hasutan yang turut memberi kebenaran kepada kerajaan untuk menggunakan akta tersebut sekiranya terdapat elemen hasutan yang disebar melalui media sosial.

[Baca berita asal]