Kadir gubah puisi buat 'orang tua kita'
Seorang lagi tokoh terkenal tampil menyatakan sokongannya untuk bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam 'perjuangannya' ketika seteru terbaru beliau turut mendapat dukungan tersendiri.
Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin secara tegas memberi sokongan kepada Dr Mahathir melalui sajak berjudul “Puisi Buat Orang Tua Kita”, Tun Dr Mahathir dan ia dimuat naik dalam blog beliau.
Antara lain, Kadir menulis:
Engkau tidak keseorangan
suaramu tidak hilang dalam kebisingan
amanatmu tidak boleh disekat dihalang
atau dilenyapkan oleh genderang perang.
Beberapa hari lalu Dr Mahathir menyatakan dia kini bersendirian dalam usahanya mempersoalkan pelbagai isu dan skandal semasa membabitkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Beliau juga secara terbuka menyatakan tidak lagi menyokong Najib sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, semalam dua selebriti terkenal muncul kelmarin membuat pengakuan terbuka menyokong Dr Mahathir iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan.
Kadir sememangnya dikenali sebagai pendukung kuat Dr Mahathir dan rapat dengan bekas perdana menteri itu.
Dalam blognya Kadir menyindir Najib sebagai "sang dewata" yang kini dipuja serta dijulang penyokong beliau.
Namun, kata Kadir, Mahathir ternyata lebih hebat daripada sang dewata berkenaan dan tidak perlu dipuji dengan kepalsuan.
Kadir kemudian menulis:
Engkau punya ramai kawan dan teman
engkau punya anak-anak yang cintanya sejati
generasi yang engkau didik dan besarkan
dengan idealisme dan perjuangan
merekalah bala tenteramu
merekalah pengarak panji-panjimu
merekalah peniup nafirimu
merekalah pemalu genderang perangmu.
Sajak Kadir kemudian diakhiri dengan keyakinan perjuangan Dr Mahathir akan berjaya:
Perjuanganmu belum selesai
jangan biarkan hati anak-anakmu terlerai
jangan biarkan negara kita hancur berkecai
insya-Allah hasrat murni kita akan tercapai.

