PAS buat aduan polis dakwa Najib masuk tempat pengundian
PAS membuat aduan polis hari ini kerana mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) memasuki tempat pengundian tanpa kebenaran.
PAS membuat aduan polis hari ini kerana mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) memasuki tempat pengundian tanpa kebenaran.
Aduan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Hulu Terengganu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut dan bekas calon PAS bagi kerusi DUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh, pada 9.55 pagi ini
Menurut
Bernama
, aduan itu dibuat berikutan Najib dan pengiringnya, termasuk Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Tengku Putera Tengku Awang, memasuki pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kuala Berang untuk membuat tinjauan.
Sebelum itu, ketika bercakap kepada pemberita di sini, Abdul Wahid mendakwa tindakan Najib dan pemimpin BN memasuki kawasan itu adalah melanggar peraturan pilihanraya.
Mana-mana pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri, tidak mempunyai hak untuk memasuki kawasan itu, yang terletak di bawah pengawasan polis, katanya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut.
Serah kepada polis
Manakala Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula berkata beliau sudah memaklumkan kepada pihak polis supaya menguatkuasakan undang-undang pilihanraya di kawasan pusat pengundian.
"Saya telah dimaklumkan oleh polis bahawa PAS ada buat laporan mengenai kejadian itu. Jadi, saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi di sini.
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Berang diadakan hari ini berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Komaruddin Abdul Rahman, 46, pada 30 Julai lepas akibat serangan jantung.
Pilihanraya itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Zawawi Ismail dan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, berkata PAS tidak mempunyai asas untuk membuat dakwaan mengatakan beliau dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan pilihanraya kerana memasuki pusat pengundian semasa pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang hari ini.
Katanya, ini kerana beliau dan beberapa pemimpin BN sudah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk berbuat demikian.
Tidak ada isu
Najib berkata tujuan beliau melawat ke pusat-pusat pengundian itu adalah bagi mewakili kerajaan Pusat untuk melihat proses pengundian yang sedang berlangsung dan bukannya hendak berkempen.
"Saya tak kempen apa, saya nak tengok satu dua tempat itu bagi pihak kerajaan untuk lihat sejauh mana proses pengundian berjalan dengan baik, teliti dan tertib.
"Saya dapat kebenaran daripada SPR untuk masuk (ke kawasan pengundian), tapi selepas PAS buat protes, saya buat keputusan untuk tidak masuk lagilah," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Najib berkata lawatannya itu tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan beliau telah mendapat kebenaran daripada pihak yang bertanggungjawab iaitu SPR.
"Kami ada surat kuasa, jadi ianya bukanlah satu isu, dan kami tidak berkempen. Kami hanya memerhati bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan pengundi pula tidak perlu menunggu terlalu lama," katanya.
Sementara itu, Najib yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata sehingga tengah hari ini, beliau mendapati pengundian berjalan dengan baik dan terkawal.
Katanya keadaan itu amat berbeza berbanding semasa beberapa pilihanraya kecil sebelum ini apabila ada pihak yang menggunakan taktik yang agresif sehingga berlaku kejadian pengundi dihalang daripada mengundi.
"Tetapi Alhamdulillah, kali ini mereka lebih ikut undang-undang dan mereka lebih bersedia untuk amalkan demokrasi yang lebih matang untuk menghayati amalan demokrasi dalam negara kita.
"Dan saya kira ini baik (jumlah yang telah keluar mengundi). Bagaimanapun kita akan terus berusaha bagi memastikan sekurang-kurangnya jumlah pengundi akan menyamai apa yang telah kita capai dalam pilihanraya umum lepas," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.