PAS S'gor nafi wujud kempen pemilihan kotor
PAS Selangor tidak menerima sebarang aduan berhubung wujudnya kempen kotor sewaktu pemilihan pucuk pimpinan parti di kawasan dalam negeri itu walaupun jawatankuasa mendakwa sebaliknya.
Kenyataan itu diberikan susulan kenyataan Pengerusi jawatankuasa itu Asmuni Awi yang menyatakan terdapat pemimpin PAS yang menjadi mangsa kempen kotor seperti MP Shah Alam Khalid Samad dan MP Sepang Hanipa Maidin.
"PAS Selangor tidak menerima sebarang aduan yang serius berhubung pemilihan di peringkat kawasan-kawasan tahun ini.
"Mesyuarat agung kawasan-kawasan setakat ini telah berjalan lancar dan dijangka akan berakhir pada pada awal Mei," kata pesuruhjayanya Datuk Iskandar Samad.
Sekalipun proses pemilihan jawatan di peringkat pusat dan kawasan diadakan, Iskandar berkata bagaimanapun ia berlangsung dalam suasana persaudaraan Islam malah anggota dididik menjauhi amalan memfitnah dan memburuk antara satu dengan lain.
"Dalam era di mana media sosial digunakan secara meluas, semua pihak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan apa saja maklumat yang mereka terima.
"Sekiranya ia mengelirukan atau bertentangan dengan akhlak-akhlak Islam maka ia tidak wajar dilayan," katanya.
Menurut ADUN Cempaka itu lagi, setakat hari ini, enam kawasan telah mengadakan mesyuarat agung manakala 16 lagi kawasan akan bermesyuarat sebelum muktamar PAS Pusat Jun ini.
Asmuni juga mengakui proses pemilihan PAS dicemari kempen kotor dan gejala tidak sihat sepertimana yang dibangkitkan oleh bekas naib presiden Ahmad Awang, malah ia didakwa bukan satu perkara baru dan bukan lagi rahsia.
Bagaimanapun beliau yang juga seorang peguam tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.

