Pemilik Edge Media Group, Tong Kooi Ong nampaknya kini menjadi sasaran pihak berkuasa susulan penahanan ketua pegawai operasinya, Ho Kay Tat bulan lalu.

Malaysiakini difahamkan bahawa Tong kini disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung bayaran cukai.

Sumber mendedahkan, pegawai LHDN membuat satu serbuan, tetapi tidak menyatakan dengan jelas lokasi operasi tersebut.

Sumber mendakwa, siasatan itu mungkin “bermotif politik” kerana The Edge dan satu lagi penerbitan Tong, The Malaysian Insider menerbitkan tulisan yang kritikal ke atas 1Malaysia Development Bhd.

"Ini adalah penyalahgunaan proses oleh LHDB untuk memusnahkan kewangan Tong, seperti mana polis menahan para editornya bulan lalu,” kata sumber yang dekat dengan kes tersebut.

Ho yang juga orang kepercayaan Tong ditahan bersama tiga orang editor The Malaysian Insider serta ketua pegawai operasi portal tersebut, Jahabaq Sadiq pada bulan lalu.

The Malaysian Insider dimiliki oleh Edge Media Group.

Sementara itu, seorang jurucakap LHDN yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas dengan alasan, mereka tidak dibenarkan membincangkan kes yang dalam siasatan.

Firma audit Price Waterhouse Coopers, yang dilantik oleh Tong juga mengunci mulut berhubung perkara itu.

Tong pada Januari lalu dituduh bertanggungjawab ke atas spekulasi matawang sehingga menyebabkan kejatuhan nilai Ringgit, yang menyebabkan jutawan itu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pada bulan berikutnya, Tong mengemukakan notis kepada jutawan Jho Low, yang dikaitkan dengan masalah dalam 1MDB.

Tong mendakwa, Low mendalangi serangan ke atas beliau dan organisasi medianya.

Pemimpin redaksi TMI dan CEO The Edge itu pula ditahan atas satu tulisan berhubung pendirian Majlis Raja-Raja ke atas cadangan meminda Perlembagaan bagi membolehkan hudud dilaksanakan.

The Malaysian Insider mendakwa, tindakan pihak berkuasa itu mempunyai motif lain.

[Baca berita asal]