Dr Mahathir jadi sebutan di ceramah Pakatan
Serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi topik paling hangat dalam ceramah Pakatan Rakyat di Taman Medan semalam.
Walaupun tidak hadir secara fizikal, nama Dr Mahathir disebut-sebut penceramah untuk mengukuhkan hujah masing-masing.
Bercakap di depan kira-kira 100 hadirin, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari berkata, BN terdesak untuk terus mengekalkan kuasa selepas menyedari mereka akan kalah tidak lama lagi.
"Bukan saya kata, tapi Dr Mahathir sendiri mendakwa BN akan kalah," katanya.
Amiruddin ( bawah ) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan berkata, Dr Mahathir juga mengikut jejak langkah Pakatan apabila membangkitkan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
"Baru sekarang Dr Mahathir bertanya mengenai pembunuhan Altantuya. Dalam ceramah Pakatan, kita membangkitkan isu ini sejak tiga tahun lalu,
"Apa motif (anggota polis) Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri membunuh Altantuya?
"Najib tidak pernah memberi reaksi. Beliau hanya mendakwa tidak kenal Altantuya," katanya.
Dr Mahathir kini giat berkempen menyingkirkan Najib daripada jawatan perdana menteri dengan menggunakan pelbagai hujah, termasuk operasi agensi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berhutang RM42 bilion.
Sementara itu anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham yang turut berceramah semalam mengecam Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kerana menggelar kerusi parlimen Permatang Pauh sebagai "sendirian berhad" untuk keluarga mereka.
"Saya nak beritahu Shahrizat, kerusi Permatang Pauh bukan syarikat sendirian berhad seperti Perbadanan Feedlot Kebangsaan (NFC).
"Adakah mengambil ratusan juta ringgit wang rakyat, menyerahkannya kepada anggota keluarga untuk membeli kondominium di luar negara, apakah itu jika bukan sendirian berhad?" katanya.
Kenyataan Nurul Ilham itu merujuk kepada dakwaan pecah amanah dikenakan terhadap suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif NFC.
Nurul Ilham juga berkata, cucu Anwar kini terpaksa berdepan pengalaman getir seperti dialami mereka ketika bekas timbalan perdana menteri itu dipenjara pada 1999.
Ceramah itu diadakan sebagai pemanas kempen Pakatan mengadakan demonstrasi membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini.

