Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat betul apabila berkata, dia berhak membawa rang undang-undang persendirian ke parlimen dengan berunding dengan sesiapa yang beliau mahu, dan mendiamkan isu itu kepada mana-mana pihak yang dia mahu.

Ahli Parlimen Marang itu juga betul apabila menegaskan pemilihan pemimpin PAS di peringkat kawasan ketika ini berlangsung dengan amat santun dan bebas daripada sebarang kempen kotor.

Maka pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi, tentu salah dalam kenyataannya kepada Malaysiakini apabila peguam itu mengakui kempen kotor berlangsung dalam parti sejak sekian lama.

PAS adalah sebuah parti gerakan Islam yang berpengalaman dan teruji.

Apabila parti itu didaftarkan sebagai Parti Islam Semalaysia pada November 1951, sejarahnya bukanlah baru bermula. Sebelum penubuhan rasmi PAS, gerakan itu bermula di bawah nama Hizbul Muslimin.

Hudud?

Ia adalah nafas kepada PAS. Ia juga adalah jantung kepada parti itu.

Justeru apa anehnya apabila Abdul Hadi dan pelbagai tokoh lain yang kelihatan konservatif dalam PAS bertegas mahu meneruskan rancangan mereka membawa rang undang-undang persendirian ke parlimen – yang belum mendapat peluang dibentangkan.

Idea hudud 1978 Haron

Abdul Hadi adalah tokoh yang sangat berkarisma. Sejak muda lagi dia memiliki kelebihan pelbagai kelebihan - daripada ketegasan, kepetahan, kewarakan, kefaqihan dan bacaan politik yang kedepan.

Di belakang beliau pula bukan calang-calang orang.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Beliau adalah anak bekas mursyidul am PAS yang sangat dihormati.

Jika tidak, mana mungkin Nik Abduh mampu menguasai kerusi Pasir Mas ketika ia dicabar oleh tokoh sehebat Datuk Ibrahim Ali dengan majoriti lebih 8,000 undi.

Itu belum melihat kepada Datuk Dr Haron Din yang kini diangkat sebagai mursyidul am PAS.

Haron bukan calang-calang orang. Ketika masih berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau pernah menulis kertas kerja mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Pada Julai 1978 majalah berpengaruh ketika itu, Dewan Masyarakat menyiarkan intisari kertas kerja Harun yang dibentangkan dalam Seminar Pentadbiran Undang-undang Syariah, Jenayah dan Keluarga Islam Kedah pada April tahun berkenaan.

Ketika PAS memiliki Asri Muda sebagai Yang Dipertua Agung (kini dikenali sebagai presiden) tentulah Abdul Hadi bukan sekadar ahli biasa di peringkat cawangan.

Bukan amanat 1981

Abdul Hadi tentulah seorang daripada penyokong kuat kepada idea Haron apabila pengamal perubatan Islam itu mengemukakan hujah mengabsahkan pelaksanaan hudud di Malaysia.

Presiden PAS juga kini mendapat dukungan Majlis Syura Ulama yang membolehkan beliau mendapat nasihat secara langsung daripada golongan 'ulama' tanpa perlu mempedulikan sangat aspek peraturan perlembagaan.

Tidak ketinggalan, bekas naib presiden PAS, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang sehingga kini nampaknya tetap bersama aspirasi Abdul Hadi walaupun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu dipecat daripada parti.

Dalam klip video yang tersebar sehari dua ini, dapat difahami bahawa aspirasi penyatuan bangsa Melayu dalam PAS dan Umno selama ini sentiasa ada dalam jiwa Abdul Hadi dan Hasan.

Apa yang menghalang mereka ialah kewujudan susuk bernama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kini apabila Nik Abdul Aziz meninggal dunia, seolah-olah tiada apa dapat menjadi penghalang.

Golongan moderat dan profesional? Mereka sebenarnya boleh diabaikan sepenuhnya. PAS adalah gerakan Islam dan hanya individu berpendidikan agama secara formal layak membuat keputusan penting.

Tambahan pula PAS berjuang bukanlah untuk mencapai kemenangan sangat. Matlamat dasar PAS ialah kebenaran.

Biarlah kalah sampai kiamat ahli parti pasti rela dan tidak akan pernah serik untuk menyumbang atau berjuang.

Masanya akan tiba apabila bantuan 'dari langit' turun untuk memenangkan PAS. Kesediaan Umno menerima dan berlapang dada dengan hudud mungkin satu daripada bantuan 'dari langit' itu. Siapa tahu.

Hakikatnya, ahli PAS tidak ada apa-apa alasan pun untuk menolak Abdul Hadi atau gerakan politiknya.

Kecuali jika mereka menyedari bahawa kita kini hidup pada tahun 2015, bukannya 1981 ketika Abdul Hadi menyampaikan amanatnya di Kampung Banggol di Kuala Terengganu.


AMY PRAI seorang pemerhati politik tempatan dan antarabangsa dan pernah bertugas sebagai wartawan akhbar di Kuala Lumpur.