BERITA Malaysiakini

Dr M selar gaya hidup 'mewah' PM, Rosmah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dalam siri serangannya pada Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini pertama kali mensasarkan isteri perdana menteri Rosmah Mansor secara langsung.

“Banyak perkara berkaitan tingkah laku peribadinya yang saya fikir tidak betul.

“Tetapi saya sedia abaikannya, termasuk gaya hidup dia dan isterinya,” katanya.

Isu Rosmah yang sering dituduh sebagai boros dan gemar membeli barangan mewah, turut mendapat perhatian akhbar antarabangsa New York Times .

Pejabat Perdana Menteri dilapor menyebut perbelanjaan mewah Najib dan keluarganya berpunca daripada harta pusaka.

Saudara kandungnya bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa allahyarham Tun Abdul Razak berjimat cermat.

Rosmah juga dispekulasikan menyebabkan hubungan Najib dan saudaranya berselisih. Bagaimanapun ia telah pun dinafikan.

Tak boleh lagi biarkan Najib

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno berkata beliau tidak boleh lagi membiarkan Najib dalam isu syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Bila dia tak boleh jelaskan ke mana bilion ringgit dibelanjakan, dan penglibatannya dalam pengurusan 1MDB yang menjadi tanda tanya rakyat, saya rasa dia sudah tak mampu menjadi perdana menteri negara ini," katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau bercadang mendedahkan bagaimana Najib kehilangan berbilion ringgit dalam tulisannya akan datang.

Mufti: Jaga-jaga kerenah wanita pertama

Sementara itu, Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mengingatkan bagaimana reputasi seorang pemimpin negara dirosakkan oleh isteri sehingga mendorong rakyat benci kepadanya.

Beliau memberi contoh Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati mati bersama suaminya disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa.

"Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran first lady (wanita pertama) boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.

"Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang salih terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan mereka," tulis Dr Mohd Asri dalam Facebooknya Jumaat lalu.

Sebaliknya, kata beliau, wanita solehah kadang-kala lebih baik daripada lelaki dan kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita.

"Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki.

"Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian," katanya.

[Baca berita asal]