Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan terperinci berhubung pelbagai isu dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gesaan itu dibuat Mohd Shafie sehari selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir.

Menurut Mohd Shafie, Umno dan kerajaan perlu memberikan jawapan balas kepada persoalan dibangkitkan bekas perdana menteri itu dan bukannya membiarkan pihak lain melakukan tugas itu.

"Beliau (Dr Mahathir) bertanya beberapa soalan yang perlukan penjelasan. Justeru, sangat penting kepada kita menerangkannya dengan terperinci.

"Saya yakin ini bukan kerana jambatan bengkok," katanya.

Dalam temu bual di televisyen baru-baru ini, Najib membayangkan kemarahan Dr Mahathir kepada beliau berpunca daripada keengganan kerajaan meneruskan projek jambatan bengkok menghubungkan Johor dan Singapura.

Kata Mohd Shafie, penjelasan terperinci diperlukan kerana ia bukan saja akan meyakinkan Dr Mahathir, malah rakyat secara keseluruhan.

"Sementara kita menunggu laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (menyiasat 1Malaysia Development Bhd), perlu untuk mana-mana pihak yang mempunyai maklumat seperti Kementerian Kewangan memberi penerangan jelas," katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, semua orang tahu watak Dr Mahathir.

"(Kemarahan) yang ditunjukkan beliau bukan saja berlaku kini malah ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.