Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata imej Islam kini tercalar di mata dunia dengan gambaran dan tindakan yang salah mengenai pengertian jihad dalam Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara ujian yang dihadapi Islam dan umatnya ialah penyelewengan maksud jihad sebenar termasuk dalam pertubuhan militan Negara Islam (IS).

Beliau berkata pembabitan rakyat Malaysia dalam pertubuhan IS secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada negara.

"Justeru kita bertanggungjawab membersihkan persepsi ini dan mengetengahkan imej sebenar Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW," katanya ketika berucap merasmikan majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-58, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Muhyiddin menggariskan empat ujian yang dihadapi Islam ketika ini iaitu penyelewengan maksud jihad sebenar, cabaran globalisasi, penyebaran ajaran sesat dan ancaman pluralisme dan liberalisme.

Justeru, katanya pemahaman mendalam terhadap ajaran Islam yang sebenar menjadi asas yang kukuh bagi mempertahankan kesucian Islam.

Di sebalik pelbagai cabaran itu, Timbalan Perdana Menteri berkata pemimpin dan rakyat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara sentiasa dipertahankan.

Beliau berkata majlis tilawah Al-Quran tahun ini yang bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' menepati keperluan semasa rakyat dan umat Islam keseluruhannya selain mempromosikan perpaduan dan menjauhi perpecahan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Datuk Zulkifli Mohamad Albakri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya.

Majlis Tilawah Al-Quran yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini menghimpunkan sebanyak 28 peserta merangkumi 14 Qari dan 14 Qariah dari setiap negeri.

Johan qari dan qariah peringkat kebangsaan bakal menerima wang tunai berjumlah RM30,000; sebuah kereta jenis Proton Preve; piala pusingan dan piala iringan serta pakej menunaikan fardhu Haji.

Naib johan pula akan menerima wang tunai RM20,000 manakala tempat ketiga (RM15,000) selain RM4,500 saguhati kepada setiap peserta.

Selain itu, johan qari dan qariah peringkat kebangsaan ini akan mewakili Malaysia ke Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa pada 9 hingga 14 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

- Bernama

Lihat Komen
ADS