Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, satu firma yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini masih mencatat kerugian.

Katanya, nilai pelaburan syarikat tersebut, SRC International menyusut lagi sebanyak RM89 juta pada April, selepas mencatat penyusutan sebanyak RM115 juta sebelum ini.

“Ini bermakna, bagi tahun kewangan 2014 sahaja, kerugian melalui susut nilai yang dicatatkan oleh SRC dari pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia telah mencecah RM204 juta,” kata Rafizi.

Jelasnya, penyusutan RM89 juta itu merujuk kepada kerugian dalam satu pelaburan usahasama SRC International, manakala jumlah RM115 juta itu pula bagi pelaburan syarikat itu sendiri.

Katanya, kerugian baru itu boleh dilihat berdasarkan penyata kewangan terkini SRC International yang turut ditunjukkannya kepada pemberita.

Dalam sidang media hari ini, Rafizi berkata, perkembangan ini akan menjejaskan wang caruman pesara yang digunakan untuk pelaburan tersebut.

Ini kerana, dana yang digunakan oleh SRC untuk melabur adalah dari pinjaman sebanyak RM4 bilion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), katanya.

Pencen disekat

“Mereka ini terdiri dari kakitangan kerajaan yang menyertai sektor kerajaan dan diserapkan ke badan berkanun seperti Bank Simpanan Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ada beribu-ribu pesara dari kalangan mereka yang telah dinafikan hak untuk mendapatkan pencen pada kala dana pencen dilaburkan oleh SRC dalam perlaburan yang tidak diketahui sebelum ini,” jelas Rafizi.

Rafizi berkata beliau akan membantu kumpulan pesara berkenaan untuk berunding dengan kerajaan agar dapat mengambil balik sebahagian pencen yang telah dinafikan hak sebelum ini.

Katanya, masalah ini tidak dapat diselesaikan melalui mahkamah kerana kumpulan pesara berkenaan telah menandatangani perjanjian semasa diserap masuk ke badan berkanun yang diswastakan.

Namun, Rafizi berkata beliau akan berbincang dengan peguam agar membantu beberapa orang pesara untuk memfailkan saman terhadap syarikat SRC agar dapat menghalang pelaburan buruk syarikat itu daripada diteruskan.

SRC sebelum ini merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum diserap sebagai milik penuh Kementerian Kewangan.

Selain dari pelaburan sendirinya, SRC juga telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama dengan sebuah syarikat dari Timur Tengah iaitu Aabar Investments untuk melabur dalam bidang perlombongan.

Lihat Komen
ADS