Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan enam lagi individu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pemalsuan dokumen tuntutan bekalan serta pembayaran program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (PINTAF).

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias berkata kesemua mereka yang berumur antara 20-an hingga 50-an termasuk seorang wanita yang merupakan pegawai kanan Koperasi Kakitangan Veterinar Johor Berhad ditahan menerusi Ops Tanduk.

"Mereka yang lain ialah pegawai dan kakitangan Pejabat Veterinar Daerah Segamat. Mereka ditahan di Pejabat Veterinar Segamat dan kemudian dibawa ke SPRM Segamat untuk diambil keterangan," katanya menerusi kenyataan semalam.

Azmi berkata penahanan mereka menjadikan 12 individu ditahan SPRM setakat ini dan kesemua mereka kemudian dilepaskan selepas keterangan selesai direkodkan.

Beliau berkata semalam, pihaknya menerusi operasi yang sama bertindak menahan empat pegawai veterinar manakala dua individu lain, masing-masing ditahan dua hari lepas dan 1 April lepas.

Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, katanya.

"SPRM Johor melancarkan Ops Tanduk itu susulan aduan orang awam berhubung penyelewengan pembekalan lembu dan kerbau kepada penternak program PINTAF.

Program PINTAF yang memperuntukkan RM3 juta merupakan program Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menyalurkan bantuan aktiviti pembangunan ternakan. Ia merupakan satu pinjaman tanpa faedah," katanya.

Azmi berkata dianggarkan lebih 150 penternak di bandar raya ini sepatutnya mendapat bantuan dari program PINTAF tetapi maklumat yang diterima SPRM menunjukkan ramai tidak menerima bantuan sewajarnya.

- Bernama