Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersedia mendengar keluhan daripada mana-mana kontraktor yang didakwa gagal atau lewat menyiapkan projek milik kerajaan atau agensinya mengikut jadual.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata demikian merujuk kepada keluhan syarikat Hisniaga Sdn Bhd yang menolak kenyataan PAC bahawa projek pembinaan depoh penyenggaraan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Kempas, Johor lewat daripada yang dijadualkan.

"Kita sememangnya terbuka dalam hal ini, jika ada pihak yang berpendapat PAC tidak mendapat maklumat sebenar kerana hanya mendengar daripada pihak kerajaan sahaja, syarikat atau individu terbabit boleh datang berhadapan dengan PAC dan memberikan cerita mereka," katanya dalam kenyataan semalam.

Nur Jazlan menjelaskan dalam isu Hisniaga, PAC mengeluarkan kenyataan berkenaan berdasarkan prosiding yang diadakan pada 2 April membabitkan Kementerian Pengangkutan yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Ismail Bakar serta pengurusan tertinggi KTMB dan Jabatan Audit Negara.

"Harus diingatkan bahawa dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3, 2013 dan dalam prosiding berkenaan, pihak Kementerian Pengangkutan sendiri mengaku projek itu lewat.

"Dan jika syarikat itu mendakwa projek berkenaan tidak lewat, mereka sepatutnya mencabar penemuan Jabatan Audit Negara Kementerian Pengangkutan dan KTMB sewaktu audit dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PAC belum memuktamadkan prosiding mengenai projek itu, dan mengalu-alukan syarikat Hisniaga datang berhadapan dengan jawatankuasa tersebut untuk menjelaskan perkara sebenar.

- Bernama