Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil kesemua 153 pemilik kenderaan klon yang telah disita dalam operasi bersama SPRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu baru-baru ini, untuk diambil keterangan.

Pengarah Perisikan SPRM Datuk Azam Baki berkata pemilik kenderaan yang kebanyakanya tinggal di Terengganu dan Kelantan itu akan dipanggil dalam tempoh dua minggu ini untuk membantu siasatan berhubung pemilikan kenderaan tanpa dokumen yang sah.

Beliau berkata SPRM dan JPJ akan menjalankan operasi besar-besaran bagi mengesan kenderaan-kenderaan yang telah diklon dan, pemilik kenderaan yang dikesan selepas ini akan terus ditahan untuk tujuan soal siasat.

"SPRM dan JPJ percaya masalah yang sama wujud di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Azam menggesa mereka yang telah membeli atau terbeli kenderaan lusuh dari Singapura dan menggunakan secara tidak sah supaya segera menyerahkan kenderaan masing-masing kepada mana-mana pejabat SPRM terdekat.

Beliau berkata tindakan memiliki kenderaan sedemikian adalah satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azam berkata pejabat SPRM Negeri Sembilan telah menerima dua kenderaan yang diserahkan oleh pemilik secara sukarela.

Katanya pada minggu lepas, SPRM Negeri Sembilan menahan tujuh individu dan menyita 14 buah kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai lebih RM1.5 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

"SPRM Negeri Sembilan juga telah menahan seorang lagi individu kelmarin, dipercayai anggota sindiket untuk membantu siasatan. Lelaki berusia 26 tahun telah dilepaskan selepas diambil keterangan," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata 153 buah kenderaan klon itu merupakan kereta mewah antaranya Mini Cooper, Lexus, BMW dan Mazda yang diseludup dari Singapura untuk dijual di negara ini pada harga antara RM20,000 hingga RM50,000.

Ismail berkata kesemua kenderaan yang disita itu bernilai lebih RM13 juta.

Kenderaan klon itu diseludup dan diklonkan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan asal di Malaysia dan yang membezakannya hanyalah nombor chasis dan nombor enjin.

- Bernama