IWK rayu kecuali GST untuk premis domestik
Diterbitkan: Apr 22, 2015 7:00 PM | Dikemas kini: Apr 22, 2015 7:04 PM
Penyedia perkhidmatan pembetungan negara, Indah Water Konsortium (IWK), merayu kerajaan mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) enam peratus ke atas kategori domestik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Kadir Mohd Din berkata mengikut Akta GST 2014, bil IWK bagi kesemua perkhidmatan akan dimasukkan cukai baru itu berkuatkuasa 1 April.
"Kami sudah merayu kerajaan supaya menimbang semula keputusan untuk melaksanakan GST ke atas premis domestik, namun buat masa ini, belum ada pengecualian," katanya selepas merasmikan Program Penghijauan Bumi sempena Hari Bumi 2015, hari ini.
Semua perkhidmatan yang disediakan oleh IWK tertakluk kepada GST seperti perkhidmatan pembetungan bagi premis bersambung, perkhidmatan pengosongan responsif, rawatan kumbahan, membersihkan pembetungan tersumbat dan baik pulih.
Mengenai rancangan IWK untuk menaikkan sistem tarif, Abdul Kadir berkata syarikat itu masih berunding dengan kerajaan.
"Tindakan itu bertujuan memastikan pengguna menggunakan air secara berhemat, namun buat masa ini, sistem tarif IWK tidak berubah.
"Caj yang dikenakan masa sama... bagi premis rumah kos rendah dan kuarters kerajaan, caj yang dikenakan sebanyak RM2, rumah kampung dalam bandar RM3 dan yang lain dikenakan RM8 sebulan," katanya.
Sempena Hari Bumi 2015, IWK menganjurkan program Loji Rawatan Kumbahan Wilayah Bunus, yang menyaksikan petugas dan 50 pelajar menanam pokok di kawasan rawatan kumbahan itu.
- Bernama

