Seorang pemimpin PKR berpendapat sekumpulan penduduk yang mengadakan bantahan supaya salib di sebuah gereja di Taman Medan diturunkan, tidak wajar dikenakan tindakan bawah Akta Hasutan 1948.

Pengarah Strateginya Sim Tze Tzin berkata, negara kini sudah mempunyai undang-undang yang secukupnya untuk menghukum pesalah dan tidak perlu menggunakan Akta Hasutan.

"Kita ada undang-undang secukupnya. Kenapa tak gunakan undang-undang sedia ada?

"Kerana Umno yang buat perkara ini, mereka perlu ditangkap bawah Akta Hasutan. Itu bukan prinisp kami tapi prinsipnya ialah untuk jaga semua rakyat.

"Kita tak mahu Akta Hasutan dikenakan ke atas orang Umno juga," kata Sim pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata, jika kumpulan tersebut didapati bersalah, tindakan boleh diambil bawah Akta Hasutan.

Antara pemimpin yang hadir dalam sidang media itu, Timbalan Ketua Wanita PKR Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.

Rodziah berkata Akta Hasutan tidak perlu digunakan bagi kes perhimpunan di Taman Medan itu memandangkan kes itu boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Protes 'kepala lembu'

Dengan memberikan contoh isu protes "kepala lembu" di Shah Alam, ahli majlis pimpinan pusat PKR itu berkata peserta protes tersebut telah dijatuhkan hukuman di bawah Kanun Keseksaan dan tidak menggunakan Akta Hasutan.

"Kalau kita ingat insiden di Shah Alam sebelum ini tentang isu kuil- kepala lembu. Ketika itu tanpa Akta Hasutan tetapi peserta protes dijatuhkan hukuman bawah Kanun Keseksaan.

"Ini contoh terbaik untuk rujuk kes. Jadi Akta Hasutan dari awal kita menolak dan tidak perlu," katanya.

Manakala G Manivannan pula berkata, percanggahan kenyataan antara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menimbulkan pelbagai persoalan.

Manivannan berkata beliau bersama beberapa lagi wakil rakyat Pakatan pernah membangkitkan supaya takrifan hasutan dibahaskan dalam sidang Parlimen awal bulan ini, bagi mengelak kekeliruan berlaku.

"Ketua Polis kata tidak menghasut, Zahid kata hasutan. Belum lagi diwartakan, dua orang tertinggi ini pun sudah keliru. Kalau benda ini diselesaikan di Parlimen, tidak wujud kekeliruan.

"Kerana di Parlimen kita bahaskan selama lima, enam jam minta penjelasan tentang apa yang dimaksudkan sebagai hasutan," katanya selaku pengerusi biro kepenggunaan PKR.