Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mencadangkan ahli parlimen Pakatan Rakyat "membantu menyelamatkan negara" melalui usul undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung isu hutang dan pengurusan firma pelaburan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Husam ( kiri ) yang juga bekas ahli parlimen Kubang Kerian berkata usaha itu boleh dicapai melalui kerjasama dengan wakil rakyat yang mewakili Umno dan BN.

Katanya usul itu boleh dikemukakan dalam sidang parlimen hujung bulan depan.

"Usul itu bertujuan menyelamatkan negara dengan menghilangkan punca malapetaka itu walaupun usaha bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk memperkukuhkan Umno," katanya hari ini.

Kata Husam, nilai kerugian sebenar 1MDB adalah lebih besar berbanding nilai yang didakwa Dr Mahathir.

Menurut Husam, walaupun Dr Mahathir sering mendakwa jumlah hutang 1MDB adalah RM42 bilion, namun berdasarkan penyata kewangan firma itu pada 2014, jumlah tanggungan mereka mencecah RM48.96 bilion, membabitkan hutang RM45.38 bilion dan cukai tertunggak RM2.3 bilion.

"Maksudnya, hutang 1MDB berkembang lebih besar daripada apa yang disebut oleh Tun M dalam usianya yang baru empat tahun ditubuhkan," katanya.

Husam berkata, hutang itu akan ditanggung generasi baru Malaysia jika mereka tidak peka dengan apa yang berlaku ketika ini.

"1MDB lebih melibatkan kita semua dan anak cucu kita lebih daripada Tun M. Kita juga harus bertanya sebagaimana pertanyaan Tun M. Ke manakah lesapnya wang itu?" kata Husam.